Abang pergi sebelum majlis nikah. Selepas setahun baru adik ada kekuatan buka hadiah kahwin pemberian arwah.

Kehidupan keluarga Sedih

BUKAN mudah untuk menerima hakikat pemergian dan kehilangan orang tersayang.

Seorang pemuda akhirnya terdetik hati untuk membuka hadiah pemberian arwah abangnya selepas lebih setahun dijemput Ilahi.

Berkongsi pengalaman, Azwanshah Mohd Sah berkata, hadiah tersebut diberikan oleh abangnya, Allahyarham Hasrul Amirizan sempena hari perkahwinannya, Ogos tahun lalu.

Pemuda berusia 26 tahun itu berkata, rancangan asal untuk berkahwin pada Mac 2021 namun diawalkan demi memenuhi permintaan abangnya yang menghidap kanser usus tahap empat.

“Arwah abang minta perkahwinan saya dipercepatkan. Selepas pelbagai faktor dan kekangan, saya hanya dapat melangsungkan majlis pada 15 Ogos 2020.

“Kami cuba ikut permintaan abang, tapi dia tak sempat tengok saya kahwin kerana telah pergi pada 6 Ogos 2020 semasa usianya 31 tahun. Kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Wan, katanya, hanya hadiah pemberian arwah abangnya yang menjadi ‘pengganti diri’ pada hari perkahwinannya.

“Pada awalnya saya tak tahu pun arwah beri hadiah. Malam tu masa sesi buka-buka hadiah, ada kotak besar dengan kad ucapan yang tertera nama arwah sebagai pemberi.

“Saya tanya kakak yang rapat dengan arwah, dan diberitahu ia adalah hadiah yang dipesan arwah sebelum pergi menghadap ilahi,” ujarnya yang berasal dari Jempol, Negeri Sembilan.

Menurut anak ketujuh daripada 12 beradik itu, dia bagaimanapun tidak berhasrat untuk membuka hadiah berkenaan sehinggalah ‘diperam’ di bilik tidur selama lebih setahun.

“Sejak kahwin, isteri beberapa kali tanya bila nak buka hadiah tu sehingga isteri tanya lagi minggu lepas. Selepas lebih setahun baru saya tergerak hati untuk membukanya.

“Sebaik buka kotak hadiah, tekaan saya selama ini tepat. Arwah hadiahkan saya sebuah periuk nasi. Saya teringat pernah berkongsi keinginan untuk mendapatkannya.

“Kira-kira dua bulan sebelum kahwin, arwah tanya soalan ketika saya masih menyewa di rumah bujang. Abang tanya masa kahwin nanti nak hadiah apa.

“Saya kata kalau nak beli, lebih baik beli periuk nasi sebab yang ada kat rumah sewa tu adalah kepunyaan rakan serumah. Bila-bila dia boleh bawa pergi,” tambahnya.

Wan yang berkhidmat sebagai anggota polis itu mengakui sebak ketika membuka hadiah pemberian arwah abang yang tidak disangka-sangka.

Menurutnya, abangnya merupakan anggota tentera dan masih bujang itu merupakan seorang yang pendiam dan lebih suka berahsia.

Arwah abang tak kisah apa orang nak kata, tapi dia seorang yang supportive dengan keluarga. Malah dia bantu menyatukan semua adik-beradik.

“Arwah abang tak kisah apa orang nak kata, tapi dia seorang yang supportive dengan keluarga. Malah dia bantu menyatukan semua adik-beradik selepas semua berdepan krisis.

“Kerana arwah juga kami sekeluarga masih berhubung antara satu sama lain, meskipun ketiadaan arwah dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya sambil menambah dia baru dikurniakan cahaya mata lelaki pada bulan lalu.

Dalam pada itu, Wan berkata, dia dan abangnya yang dikenali sebagai Koperal Ujang itu berkongsi minat sama dalam permotoran.

“Kami banyak menghabiskan masa bersama berkaitan permotoran, itu je. Kini hanya kenangan bersama arwah. Sampai sekarang saya masih terngiang-ngiang perbualan bersama arwah berkenaan hadiah kahwin,” katanya.

Sumber: Mstar.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Jangan ketinggalan untuk mengikuti kisah-kisah menarik di bawah.