Belajar lain tapi lain pula kerjayanya. Tak sangka nak buka bisnes arnab tapi lain pula yang dapat nama.

haiwan Viral

Hidayah bersama dua ekor kambing belaannya sambil dikelilingi arnab yang diusahakannya sejak tahun lalu. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Begitulah kisah mengenai graduan bidang Pengurusan Hartanah ini apabila dia beralih arah menceburi bidang penternakan arnab pada September lalu. Menurut Naqhwan Nur Hidayah, 24, dia bermula dengan sembilan ekor arnab sahaja dan sama sekali tidak menyangka ia akan membawa pulangan rezeki buatnya

Dua ekor kambing comel ini tular di TikTok.

“Saya habis belajar pada Jun tahun lepas. Masa tu dengan pandemik Covid-19, agak mustahil nak cari kerja. Saya tengok rakan-rakan pun struggle nak cari kerja. Jadi kenapa tidak saya ceburi bidang ini? Walaupun pandemik masih ada, bidang ternakan tetap berjalan. Saya juga rasa tak ramai generasi baharu ceburi bidang ini. Saya cuba buka Facebook, cari apa yang saya boleh buat. Kemudian saya nampak mengenai ternakan arnab. Bermula dengan sembilan ekor, Alhamdulillah sekarang ada lebih 400 ekor,” ujarnya. Mesra disapa Hidayah, dia mengakui tak pernah menyesal ‘terjun’ ke bidang lain, sebaliknya menganggap ia sebagai satu proses pembelajaran buatnya.

Video Hidayah bersama kambing miliknya tular di TikTok.

Malah katanya, dia bersyukur dengan rezeki yang diperolehi sehingga kadang-kala tak menang tangan melayan permintaan pelanggan.

“Rezeki tak terhad dengan apa yang kita belajar sahaja. Jangan risau nak terokai peluang baharu. Saya sekarang memang dah jual arnab secara aktif. Tak cukup supply sebenarnya. Memang banyak permintaan. Bidang ini juga mencabar, tapi ia merupakan proses untuk saya belajar,” ujarnya yang menjalankan ternakan di Sebertak Trigona Agrofarm, Bera, Pahang.

Menurut Hidayah, ladang itu turut menjadi pusat ternakan kambing dan lebah kelulut yang diusahakan bapanya sejak tahun 2019. Selain itu, mereka turut mengusahakan tanaman seperti belimbing, durian, manggis, rambutan dan timun di ladang itu.

Bila keluar, ada orang tegur nak bergambar dengan Jenny dan Poppy.

Di aplikasi TikTok, Hidayah banyak berkongsi video mengenai arnab dan kambing sehingga meraih jutaan tontonan. Paling mencuri tumpuan tentunya video keletah dua ekor kambing dikenali sebagai Jenny dan Poppy yang dibela oleh Hidayah sejak berusia tiga hari.

Hidayah menjalankan ternakan arnab sejak tahun lepas.

“Saya ambil dua ekor kambing dan bela di rumah, kedua-duanya sangat manja. Saya sebenarnya tinggal di kawasan taman, tapi Jenny dan Poppy dah dibawa balik sejak usia tiga hari, dah tak berapa bunyi kambing dah. Tak bising nak mengembek. Mereka dah sesuaikan diri dengan kehidupan di rumah. Setiap kali pergi ladang, Jenny dan Poppy akan ikut jadi peneman. Jenny dan Poppy macam dah lupa yang ‘mereka’ sebenarnya kambing, sebab mereka tak lepak dengan kambing-kambing lain kat ladang tu. Bila keluar, ada orang tegur nak bergambar dengan Jenny dan Poppy. Ramai follow TikTok sebab nak tengok telatah mereka. Macam dah lari tujuan pula, buat TikTok untuk bisnes arnab, tapi kambing yang dapat nama,” ujarnya berseloroh.