Pengantin bancuh makanan bayi di majlis sandingnya. Sekali ada pula komen negatif sampai terpaksa buat video baru untuk penjelasan.

keluarga

Pasangan pengantin ini bersanding selepas lebih setahun diijabkabulkan dan majlis mereka turut disertai putera sulung yang kini berusia lapan bulan. Bukan berdua, tetapi majlis persandingan pasangan suami isteri ini turut dihadiri individu ‘ketiga’! Namun usah salah sangka, individu ketiga yang dimaksudkan adalah putera sulung kepada pasangan ini sendiri. Malah apa yang melucukan, menerusi satu perkongsian video di aplikasi TikTok, kelihatan pengantin perempuan yang lengkap dalam persalinan busana songket sibuk membancuh makanan untuk bayinya.

“Bila kau nikah dah setahun lebih dan sekarang baru buat majlis… dah terkeluar anak seorang pulak dah,” demikian kapsyen pada video berkenaan yang sehingga kini meraih 2.8 juta jumlah tontonan. Menurut Mohamad Hairul Azmeer Hussain, dia dan isterinya, Nursholehah Mohd Sholahuddin, 23, sebenarnya selamat diijabkabulkan pada 29 April 2020 iaitu ketika negara sedang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebagaimana pasangan lain yang melangsungkan pernikahan sewaktu PKP, kami juga sama seperti mereka iaitu selesaikan yang wajib sahaja. Perancangan asal nak menikah pada 4 April 2020, tetapi PKP pula dan terpaksa ‘drag’ sehingga 29 April. Kami bernikah di pejabat kadi di Jempol dan tiada majlis resepsi pun. Kalau nak tahu, masa majlis pernikahan saya dan isteri, keluarga saya terkandas di rumah adik di Terengganu. Mereka ziarah adik dan tiba-tiba PKP. Jadi masa nikah, saya hanya ditemani imam masjid kampung saya saja,” cerita lelaki berusia 28 tahun ini yang berasal dari Felda Pasoh 3, Negeri Sembilan.

Hairul dan Nursholehah bersanding bertiga bersama anak mereka, Mohamad Hail Sa’qeef.

Senang disapa sebagai Hairul, lelaki ini berkata dia dan isterinya mengidamkan untuk mengadakan majlis resepsi namun dengan kekangan situasi negara yang belum pulih daripada wabak Covid-19, hasrat tersebut terpaksa dipendam terlebih dahulu. Dalam masa yang sama, mereka dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata pertama, Mohamad Hail Sa’qeef pada 15 Februari 2021.

“Apabila isteri dah selamat bersalin, kami rancang untuk ‘naik pelamin’ serentak dengan sepupu yang merancang nak buat majlis pernikahan pada Mei lalu. Namun tak jadi juga sebab PKP lagi sekali” ujarnya yang juga pemilik Hairul Hussain Son’s Barbershop.

Pasangan ini diijabkabulkan pada 29 April 2020 ketika PKP.

Dipendekkan cerita, menurut Hairul, sepupu dan abang ipar di sebelah isterinya merancang untuk mengadakan majlis pernikahan serentak yang dihadiri kaum keluarga terdekat pada 2 Oktober. “Saya sebenarnya tak nak join sebab dah tawar hati dah nak bersanding. Pasal dua kali dah kena tipu… asyik tak jadi.

Anak kami pun pakai baju warna sedondon. Bukan berdua je atas pelamin, tapi bertiga.

“Tapi sebab nak penuhi permintaan mentua dan juga atok, kami suami isteri pun bersetuju. Itu pun memang last minute kami setuju nak join. Tiga atau empat hari sebelum majlis, barulah kami sibuk cari mak andam. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun serba sederhana. Anak kami pun pakai baju warna sedondon. Bukan berdua je atas pelamin, tapi bertiga,” ceritanya sambil berseloroh. Sekadar mengabadikan video lucu di aplikasi TikTok, Hairul berkata dia sama sekali tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular.

Pernikahan pasangan ini diadakan mengikut SOP memandangkan ketika itu kerajaan menguatkuasakan PKP.

“Ramai komen lucu sebab anak datang sekali majlis persandingan. Tapi ada segelintir juga yang mudah melontarkan komen negatif tanpa usul periksa dan tulis bukan-bukan sebab baru buat majlis dah ada anak. Terang-terang saya tulis di kapsyen malah post sebelum ini pun saya dah kongsi video nikah… agaknya mereka tak tengok, atau senang sangat judge orang lain. Tapi demi tak mahu salah faham berlarutan, saya buat juga video baharu nak perjelas situasi.

Hairul merupakan pemilik Hairul Hussain Son’s Barbershop yang terletak di Felda Pasoh 3.

“Padahal ramai je pasangan termasuk artis yang nikah dahulu, bersanding kemudian sebab PKP. Kepada pasangan lain yang seperti kami, kalau rasa nak bersanding walaupun dah lama nikah, teruskan saja. Setidak-tidaknya ada juga memori untuk dikenang sepanjang hayat,” ujarnya lagi. Sumber : Mstar

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.