Disebabkan peristiwa RM2 ini membuka mata abang polis untuk cuba bantu golongan ini. Tak sangka dah selama ini dia bantu dan lakukan semuanya sendiri.

Fakta Pengetahuan Viral

Jay memulakan usaha murni itu sejak tahun 2010 lagi. Setiap individu ada cara tersendiri untuk berbakti kepada masyarakat. Begitu juga dengan anggota polis ini apabila dia memulakan usaha murni membantu golongan memerlukan sejak tahun 2010 lagi. Menurut Jayteen Singh, 37, dia dan rakan-rakannya juga giat membantu golongan gelandangan sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun lalu. Turut dikenali sebagai Jay Shahkur, dia ketika berkongsi kisah disebalik penubuhan Brotherhood Asian Hub itu yang turut disertai sekitar 30 rakan-rakannya.

“Semuanya bermula pada sambutan hari lahir saya, 13 Disember 2010, ketika itu saya keluar untuk membeli barang, kemudian terserempak dengan orang yang memerlukan. Mereka minta saya RM2 untuk beli makanan. Tanpa berlengah, saya beli set makanan di sebuah restoran berdekatan untuk diberikan kepada mereka. Cuba bayangkan, saya nak buat parti hari lahir di rumah, tapi pada masa sama, ada orang memerlukan di luar sana,” ujarnya yang berpangkat Lans Koperal.

Pengalaman bertemu orang susah ternyata membuka mata Jay untuk lebih bersyukur.

Menurut Jay yang kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur, usaha murni itu semakin hari semakin berkembang apabila turut dibantu rakan-rakannya. Bermula dengan bantuan kepada keluarga miskin, mereka kemudiannya turut membantu golongan gelandangan di sekitar ibu kota ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada tahun lalu. Untuk ‘total lockdown’ bermula 1 hingga 14 Jun ini pula, dia menggerakkan misi ‘No One Sleeps Hungry’ bagi membantu golongan susah di negara ini. “Awalnya saya buat secara sendirian, kemudian kawan-kawan nak tolong sehingga ia jadi makin besar.

Sangat sebak sebenarnya. Ramai orang susah di luar sana.

“Ketika awal PKP dulu, kami sedar ramai yang memerlukan dan berada dalam kesusahan. Ahli kami ada di seluruh Malaysia. Terbaharu, kami bantu gelandangan ketika ‘total lockdown’ di sekitar Kuala Lumpur yang mana saya sendiri akan masak untuk mereka,” ujarnya lagi.

Namun jelasnya, agihan makanan di sekitar ibu negara itu dilakukan dalam sekitar 10 kilometer (km) radius sahaja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kata Jay lagi, dia sedaya upaya cuba membahagikan masa antara kerjaya hakiki dengan penglibatan amal itu.

Usaha murni itu turut disertai sekitar 30 rakannya.

“Saya selesai kerja, terus sambung buat yang ini pula. Biasanya saya sendiri akan masak. Kalau tak masak di rumah saya, kami masak di restoran abang saya. Lepas habis sekolah dulu saya belajar memasak. Saya gembira bila golongan yang dibantu puji masakan saya. Memang menyentuh hati setiap kali jumpa, mereka akan ceritakan kisah masing-masing. Ada kalanya mereka kata mereka tunggu makanan saya, mereka tanya kenapa lambat datang. Saya minta maaf dengan mereka kerana lambat hantar makanan. Sangat sebak sebenarnya. Ramai orang susah di luar sana.

“Pengalaman ini membuka mata saya untuk kita hargai apa yang ada dalam hidup,” ujarnya yang sudah tujuh tahun menjadi anggota polis. Jay juga banyak berkongsi mengenai usaha murni itu menerusi Instagram brotherhoodasianhub dan turut mengaluk-alukan pihak di luar sana yang mahu menyumbangkan bantuan.