Hidup berubah 360 darjah. Berhijrah dari seorang pengamal media kepada usahawan pokok hiasan.

Dunia inspirasi Kehidupan Pekerjaan Wanita

PETALING JAYA: Bermula hanya sekadar menjadi peneman setia ibu ke nurseri, wanita berasal dari Kampung Melayu Subang, Selangor ini tidak menyangka tahun 2020 menjadi saksi hidupnya berubah 360 darjah daripada seorang pengamal media kepada usahawan pokok hiasan.

Membuka bicara, Sarah Zulkifli, 39, mengakui tidak pernah terfikir untuk mencari peluang lain, sehingga langkahnya sebagai wartawan terhenti apabila terpaksa menyertai skim pemisahan sukarela (VSS) pada Mac tahun lalu, beberapa minggu sebelum negara mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama.

Mengakui agak sukar menerima keputusan itu di peringkat awal, wanita yang berpengalaman hampir 14 tahun dalam dunia kewartawanan di sebuah akhbar arus perdana bingkas bangun dan segera mengatur langkah demi masa depan diri dan keluarga.

“Tipulah kalau tak sayang dengan dunia kewartawanan. Macam dah sebati dalam jiwa, menulis dan melaporkan berita untuk masyarakat. Namun, selepas diberhentikan kerja, saya mula terfikir semula, mungkin ini waktu terbaik untuk berhijrah.

“Saya juga memikirkan masa bersama keluarga akan lebih banyak, selain faktor usia yang meningkat. Saya mempunyai dua anak yang sedang membesar, masing-masing berusia 9 dan 7 tahun, mereka perlukan perhatian lebih ketika ini memandangkan suami juga dalam bidang media,” katanya kepada FMT.

Berbekalkan ilmu yang dikongsi ibu, Normilah Mursib, serta dorongan suami, yang menjadi kekuatannya untuknya terus melangkah, Sarah tekad membuka ‘mini nurseri’ sendiri dengan kos permulaan sebanyak RM15,000 pada Jun tahun lalu.

“Tidak pernah terlintas langsung untuk membuat perniagaan pokok ini sebagai sumber pendapatan. Sebelum ini, ibu saya, Normilah Mursib selalu suruh saya temankan pergi nurseri, saya hanya temankan sahaja, mungkin sebenarnya dengan teman tu Allah buka pintu hati,” kata Sarah yang mempunyai seorang pekerja untuk membantunya setiap hari menguruskan nurseri berkeluasan 40 meter persegi terletak berdekatan kediamannya.

Jelasnya, mini nurseri itu dibina selepas mendapati pokok hiasan yang diminta pelanggan sering tidak cukup dalam simpanan dan memerlukannya ke nurseri lain untuk dijual kepada pelanggan.

“Bila dah ada nurseri sendiri, semua perkara jadi mudah… kita juga boleh biakkan anak pokok sendiri dan kos menjual juga menjadi lebih murah,” katanya yang mengakui trend meningkat terhadap hiasan pokok hidup pada masa ini merancakkan lagi jualan “Plant Bae”.

Pokok hiasan bersama pasu unik

Meneruskan bicara, Sarah berkata kelebihan “Plant Bae” berbanding pesaing lain adalah pokok hiasan yang dijual disertakan bersama dengan pasu unik, bagi menimbulkan rasa teruja pemilik.

“Malah kami juga ada menyediakan perkhidmatan penghantaran hadiah antaranya hadiah hari jadi, ulang tahun dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya sambil menambah pakej yang ditawarkan bermula daripada RM20 hingga ratusan ringgit bergantung kepada jenis pokok yang dipilih.

Beliau turut mengakui, pandemik Covid-19 memberi 1001 hikmah kepadanya apabila perniagaan pokok hiasan yang diusahakan mendapat sambutan luar jangka terutama ketika pakej hadiah atau “plant bouquet” mula ditawarkan.

“Selain memilih pokok sebagai hobi, ramai pelanggan kami kini memilih untuk bagi ‘plant gift’. Kebanyakannya berpuas hati malah ada yang jadikan Plant Bae sebagai ejen penghantar hadiah kepada keluarga dan kawan,” katanya.

Sarah berkata, antara spesies pokok bunga hiasan yang kerap menjadi pilihan pelanggan adalah Oxalis triangularis, daun berbentuk rama-rama berwarna ungu; peace lily serta monstera leaf dig.

“Dengan adanya ‘plant gift’ ini, saya harap ia mampu membawa keceriaan kepada penerima yang mungkin terkesan dari segi emosi akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.