Ini punca dan kesan terhadap individu yang tidak mencukupi tidur dan cara untuk mengatasinya.

Tidur merupakan lumrah bagi setiap manusia. Ianya sangat penting kerana membantu memastikan kesihatan fizikal dan mental yang baik. Tidur yang tidak mencukupi akan mengakibatkan badan terasa penat sekaligus memberi impak negatif terhadap aktiviti harian anda.

Mental yang penat mampu menyebabkan tindak balas minda anda menjadi kurang tangkas manakala tubuh badan yang letih akan memberi impak negatif terhadap sistem imunisasi badan. Oleh itu, anda tidak seharusnya memandang remeh terhadap tidur demi menghindarkan kesan-kesan buruk kepada badan serta memastikan hari-hari anda lebih bertenaga. Berikut merupakan faktor penyumbang kepada tidur yang tidak cukup, kesan serta cara-cara mengatasinya:

TIDUR DALAM KELAPARAN. Mengikut nasihat pakar nutrisi, Stephanie Clarke menyatakan bahawa tidur dalam keadaan perut kosong memberi kesan yang tidak baik untuk kesihatan. Hal ini kerana, perut akan berasa kurang selesa sekaligus menyukarkan anda untuk tidur malah mampu menyebabkan anda terjaga di tengah malam. Selain menjejaskan kualiti tidur, anda juga mungkin akan makan dalam kuantiti yang lebih banyak pada waktu yang tidak disarankan.

Cara mengatasi: Sekiranya terasa lapar pada waktu malam, anda boleh melapik perut dengan makanan kurang berkalori seperti sayur dan buah-buahan. Elakkan makan sehingga terlalu kenyang. Sebaliknya, makanlah secara ala kadar, cukup untuk menghilangkan ketidakselesaan perut.

TIDUR DENGAN LAMPU TERPASANG. Kajian saintifik mengesahkan bahawa tidur di bawah cahaya mengurangkan penghasilan hormon melatonin yang berfungsi mencegah badan daripada menghidapi pelbagai penyakit berbahaya seperti barah. Jam biologi tubuh juga akan terganggu kerana otak dan badan anda yang secara tidak langsung berjaga sepanjang malam akibat daripada pancaran cahaya. Natijahnya, fasa tidur anda akan menjadi kucar-kacir.

Cara mengatasi: Pastikan lampu ditutup sebelum bersiap sedia untuk tidur. Sekiranya, anda tidak selesa tidur dalam keadaan gelap, pasangkan lampu seminima atau semalap mungkin.

TIDUR DALAM KEADAAN PANAS. Tahukah anda, suhu bilik juga memainkan peranan yang penting terhadap kualiti tidur walaupun anda tidak mempunyai masalah untuk tidur dalam bilik yang panas dan berbahang? Bukan itu sahaja, kajian terbaharu mendedahkan bahawa tidur dalam kepanasan juga boleh menjejaskan memori serta kemahiran berfikir seseorang.

Cara mengatasi: Pastikan ruang pengudaraan bilik anda berada dalam keadaan yang baik dengan mengekalkan suhu, kelembapan dan oksigen dalam sesuatu ruang. Sebagai contoh, untuk memastikan ruang pengudaraan dalam keadaan baik, bilik harus dilengkapi dengan tingkap dan sekurang-kurangnya kipas siling. Elakkan memakai pakaian yang tebal atau terus sahaja berpindah ke bilik mahupun ruang yang lebih dingin.

TIDUR BERSAMA HAIWAN PELIHARAAN. Tidur bersama si comel kesayangan sebenarnya membuatkan tidur anda terganggu. Kita rela mengorbankan ruang tidur agar mereka dapat tidur dengan lebih selesa. Akhirnya, kita mungkin akan mengalami sakit badan dan terasa penat pada keesokan harinya.

Cara mengatasi: Walaupun penyelesaian ini sangat berat buat pencinta haiwan tetapi cara yang paling ideal adalah dengan mengasingkan tempat tidur anda daripada haiwan peliharaan untuk tidur yang lebih lena.

LEKA DENGAN GAJET. Bermain dengan gajet terutamanya di atas katil mudah membuatkan kita leka. Tanpa disedari masa berjalan dengan begitu pantas sehingga melepasi waktu tidur. Cahaya biru daripada telefon pintar juga merupakan punca utama anda tidak berasa mengantuk walaupun sudah lewat malam. Ini adalah berpunca daripada cahaya tiruan yang mengganggu rima Circadian yang berfungsi mengawal polar jam badan anda.

Cara mengatasi: Kurangkan penggunaan gajet pada waktu malam terutamanya sebelum tidur. Lebih baik jika anda juga menggunakan masa tersebut dengan membaca buku atau membuat persiapan untuk hari keesokannya.

About ApamPink 103 Articles
Artikel di dalam blog ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog yang bertujuan untuk berkongsi maklumat dengan masyarakat umum. Sekiranya perkongsian artikel yang dipaparkan disalah-ertikan, kami tidak akan bertanggungjawab. JIKA ANDA SUKAKAN SALAH SATU ARTIKEL, JANGAN LUPA SHARE...