Jarang muat naik gambar suami walaupun dah 5 tahun kahwin. Sekali Marsha tampil bersuara dedahkan sebabnya buat orang ramai terkedu.

Artis

LIMA tahun mendirikan rumah tangga dengan usahawan Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, penyanyi Marsha Milan Londoh mendedahkan suaminya itu seorang yang pemalu dan tidak romantik. Gara-gara sifat ‘malu-malu’ itu, Marsha memberitahu dia jarang memuat naik foto bersama suami tersayang di media sosial miliknya.

“Inilah perangai dia, demi sekeping gambar… Sepol (Shaiful) pemalu tu la susah nampak dia dalam Instagram saya. “Kalau post pun… kalau dia rasa tak okay, kejap lagi dia padam la tu masa saya tengah leka! Lepas itu dia tak romantik, tengoklah duk tepis-tepis tangan. “Tapi bini pula macam kucing… nak tak nak dia reda! Walaupun ada perbezaan tapi saya tetap menyayanginya lebih 3000 juta,” katanya menerusi Instagram.

“Kalau dia rasa tak okay, kejap lagi dia padam la tu masa saya tengah leka!“ Bersama kapsyen tersebut, penyanyi lagu Bimbang ini berkongsi video momen ketika dia meraikan ulang tahun perkahwinan kelima baru-baru ini.

Kata Marsha, majlis itu diraikan awal beberapa hari kerana dia perlu menjalani penggambaran pada tarikh 31 Disember itu. Marsha kongsi video momen makan malam bersama suami sempena ulang tahun perkahwinan ke-5.

“Kami adakan makan malam lebih awal sempena ulang tahun perkahwinan kami yang sepatutnya pada 31 Disember ini sebab saya ada shting semasa itu. “Dia memahami dan okay walaupun lagi beberapa hari sahaja ulang tahun itu,” ujarnya.

Marsha mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan berusia 33 tahun itu pada 31 Disember 2015 di Georgetown, Pulau Pinang. Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber : Mstar

Marsha bersabar dulu…

IKUTKAN penyanyi dan pelakon Marsha Milan, 35, sudah boleh tersenyum apabila single terbaharunya berjudul Hello Hello sudah menemui pendengar. Bagaimanapun, dia terpaksa bersabar seketika sehingga pandemik Covid-19 berlalu dan tidak lagi menghantui rakyat Malaysia.

“Jadual kerjaya saya sebenarnya banyak pada tahun ini antaranya menghasilkan single terbabit. Saya sebenarnya menandatangani kontrak bersama syarikat Monkey Bone lebih kurang dua bulan lalu dan diberi peluang menyanyikan lagu ciptaan Audi Mok itu.

“Sepatutnya ia akan dikeluarkan sebelum bulan ini, tapi tergendala kerana Covid-19. Mungkin tarikh baharu dipilih iaitu lepas Aidilfitri,” katanya. Selain single itu, Marsha, 35, juga akan mengeluarkan lagu rakyat dalam bahasa Dusun berjudul Hiti Oku yang bermaksud Saya Di Sini.

“Ia ciptaan saya manakala lirik ditulis bersama Felix Agus kerana saya tak berapa pandai bahasa Dusun berbanding dia yang lebih mahir. Saya terbitkan lagu ini bersama Velvet yang banyak membantu merealisasikan lagu ini.

“Susunan lagu pula dibuat seorang rakan di Sabah. Tak dinafikan banyak benda yang tergendala kerana Covid-19. Namun alhamdulillah projek ini berjaya juga diteruskan,” katanya. Rezeki turut memihak kepada bintang kelahiran Akademi Fantasia 3 ini apabila dilamar sebagai hos satu pertandingan nyanyian.

“Program anjuran sebuah stesen TV ini akan bermula sama ada pada pertengahan atau hujung Mei ini. Setakat ini ia masih dalam peringkat perbincangan dan saya tak boleh bercerita lanjut,” katanya. Tanpa aktiviti seni, Marsha memanfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjual baju berjenama Marsha secara dalam talian.

“Saya bergabung dengan Seth & Luna dalam perniagaan ini. Alhamdulillah ada yang sudah habis stok kerana kami sudah mulakan promosi sejak Februari lagi. “Selain itu saya bergabung dengan sepupu suami membuat nasi daging dan air asam untuk dijual minggu depan. Ia adalah resipi turun-temurun keluarga suami yang diwarisi daripada neneknya,” katanya.

Seronok solat Tarawih

Marsha yang hampir lima tahun bergelar isteri kepada Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail mengakui tidak kekok untuk berpuasa. “Sebelum memeluk Islam saya memang pernah berpuasa. Cuma tak pernah lagi berpuasa penuh sebab masa itu sengaja ikut kawan. Saya hanya fikir cuba nak puasa penuh.

“Awalnya rasa susah nak sesuaikan diri kerana tak boleh makan dan minum. Apabila masuk Islam baru saya tahu ada ‘undang-undang’ lain lagi yang tak boleh buat selama kita berpuasa. Nak kata mencabar memanglah, cuma tidaklah teruk sangat.

Alhamdulillah tahun pertama berpuasa sebagai Muslim bukan masalah sangat. Suami pun banyak bagi semangat dan bimbing saya sepanjang Ramadan,” katanya yang lama-kelamaan dapat membiasakan diri. Tahun ini Marsha dapat menghabiskan masa dengan keluarga sepanjang Ramadan kerana mematuhi PKP.

“Sebelum PKP saya menjalani penggambaran tanpa henti sehinggakan masa dengan keluarga terutama suami agak singkat. Sekarang saya dapat bercuti dan menghabiskan masa di rumah. Ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Saya sangat gembira kerana dapat mengerjakan solat Tarawih dengan keluarga.

“Rumah yang didiami kami ada 15 ahli keluarga. Jadi sangat seronok apabila kami dapat bertarawih secara berjemaah,” katanya. Menurutnya, dia juga produktif memasak pelbagai jenis makanan. “Waktu inilah suami nak makan itu, ini dan saya pun buatkan. Alhamdulillah dia puji masakan saya sedap,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama keluarga mentua.

Marsha terkilan

SELEPAS 14 tahun bergelumang dalam industri hiburan tempatan, kerjaya seni selebriti serba boleh Marsha Milan Londoh dilihat perlahan dan mendatar. Sedangkan andai dinilai daripada bakat, Marsha boleh disifatkan sebagai anak seni yang hebat kerana mampu melakukan semua cabang seni.

Selain menyanyi, bintang yang bakatnya mula dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ketiga itu juga mampu berlakon, berlawak dan juga menjadi pengacara dalam dwibahasa dengan baik. Peminat dan pemerhati industri hiburan tanah air sendiri mengakui akan kemampuan dan kelebihan dimiliki Marsha, tetapi hanya setakat itu.

Melihat dari sudut bakat dan kemampuan tinggi dimiliki, nama penyanyi dan pelakon yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat ini sepatutnya sudah boleh dipahatkan dalam senarai anak seni terbaik pernah dilahirkan industri hiburan tempatan. Sebagai contoh mudah, minggu lalu Marsha berjaya membantu peserta program realiti Big Stage, Adzrin berada di kedudukan pertama sewaktu mereka berduet mendendangkan lagu Jealous.

Penonton memuji kelebihan dan kekuatan vokal dimiliki Marsha. Begitu juga dengan lakonan dalam filem dan drama. Sepanjang membabitkan diri dalam dunia lakonan Marsaha sudah membintangi 11 filem, 14 telefilem dan lebih 20 drama bersiri.

Melihat daripada latar kerjayanya saja, umum boleh lihat betapa penyanyi yang popular menerusi lagu Untuk Terakhir Kali itu sangat serius dengan kerjaya seninya. Namun, segala kelebihan dimiliki selalunya tidak melekat atau terpahat dalam hati peminat. Kesungguhan diberikan akan berlalu pergi seperti daun kering yang jatuh dari pohon selepas ditiup angin.

Berbicara mengenai perkara ini, Marsha yang ditemui baru-baru ini menyedari akan perkara itu, malah dia juga kecewa kerana apa yang lebih diberi tumpuan sepanjang tempoh itu adalah cerita kontroversi. “Sebenarnya dalam tempoh 14 tahun itu, saya mencuba pelbagai cara untuk membuatkan peminat dan pemerhati industri hiburan tempatan memberikan tumpuan kepada bakat.

“Memang benar ada antara lagu saya yang diminati dan drama lakonan saya diperkatakan, tetapi ia hanya sementara. Selepas beberapa ketika orang akan lupa,” katanya. Menyedari akan situasi yang berlaku ini sering berulang kata Marsha, dia dan pihak pengurusannya selalu memikirkan cara supaya kerjaya seninya lebih dipandang berbanding kontroversi yang boleh memberikan implikasi buruk.

“Disebabkan itu saya berusaha pelbagai cara dan cuba mengembangkan lagi ruang lingkup kerjaya seni. Ini termasuklah dengan menyertai program realiti Akademi Fantasia Megastar 2017. “Saya akui program itu ada memberikan impak, tetapi tidak begitu besar. Namun, sekurang-kurangnya ia memberi dan membuka ruang kepada umum untuk saya mengingatkan kembali apa yang mampu saya berikan kepada mereka dan juga industri seni tempatan,” katanya.

Letih apabila orang hanya tahu kisah kontroversi

Marsha seboleh-bolehnya tidak mahu dikenali hanya kerana cerita kontroversi. Marsha berkata, dia tahu permainan segelintir warga industri hiburan yang sanggup menjual kontroversi semata-mata mahu mengingatkan umum akan kemunculan mereka. “Pada saya perkara seperti itu tidak akan memberikan apa-apa manfaat kepada kerjaya seni. Percayalah, saya sudah melalui dan merasainya kerana itu saya berani menyatakan perkara ini,” katanya.

Menurut Marsha lagi yang kini isteri kepada ahli perniagaan, dia boleh saja menggunakan rumah tangganya sebagai bahan untuk mencipta kontroversi tetapi untuk apa? Untuk mencari perhatian? “Saya tidak akan memperjudikan hal peribadi hanya semata-mata mahu orang ingat saya ini seorang penyanyi dan pelakon. Kerana apa yang dilakukan itu tiada punya kaitan langsung dengan kerjaya seni saya. Sekarang saya hanya mahu orang bercakap mengenai bakat saya,” katanya.

Ditanya adakah situasi yang dialami membuatkan dia putus asa, kata Marsha, perkara itu tidak mungkin berlaku apatah lagi sebaik mendirikan rumah tangga pada 2015, suami tidak pernah menghalang atau mahu dia berhenti menyanyi dan berlakon.

“Situasi yang saya alami tidaklah teruk sehingga langsung ada tawaran menyanyi dan berlakon. Kalau itu yang berlaku mungkin saya berhenti dan menumpukan perhatian kepada rumah tangga. “Putus asa tidak, tetapi letih apabila setiap kali memikirkan apa yang saya lakukan tidak diberi perhatian sebaliknya perkara peribadi dan kontroversi lebih diperkatakan orang. Untuk tinggalkan dunia seni tidak kerana ini adalah perkara yang saya suka buat.

“Kadang-kadang apabila dapat menghiburkan orang dalam persembahan dan menyaksikan drama yang saya bintangi membuatkan segala perasaan lelah itu hilang. “Karya yang saya hasilkan itu akan mengingatkan kembali atas segala usaha yang saya lakukan dan mengembalikan semangat untuk saya terus berjuang dalam bidang yang amat saya sayangi ini,” katanya.

Dalam pada itu, kemunculannya dalam lagu dialek Sabah, Kadazan Dusun bergandingan dengan Velvet Aduk menerusi lagu Sumandak Sabah dan Oi Gaman berjaya jadi perhatian peminat. Masyarakat tempat asal usul keluarganya di Sabah menerima baik akan usaha dilakukan. Ekoran daripada itu Marsha juga sering berulang-alik ke sana bagi memenuhi jemputan mengadakan persembahan.

“Bagi membalas jasa atas sokongan tidak berbelah bagi diberikan orang-orang di tanah kelahiran keluarga saya itu membuatkan saya bercadang melakukan Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) di sana setiap tahun bagi mengangkat kesenian dan budaya negeri Sabah. “Saya sudah lakukannya sejak dua tahun lalu dan saya akan melaksanakan perkara itu setiap Mei sempena Hari Keamaatan,” katanya.

Marsha berusaha dapat zuriat

PENYANYI dan pelakon, Marsha Milan mengakui sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat, namun masih belum berhasil. Marsha, 34, berkongsi, dia sudah melakukan beberapa rawatan antaranya berurut secara tradisional bagi merealisasikan impiannya menjadi ibu.

“Tahun ini sudah hampir empat tahun saya berumah tangga. Jadi, sebagai isteri, tentunya saya menyimpan impian untuk memiliki cahaya mata sendiri. “Saya ada menjalani beberapa rawatan seperti mengurut dan sebagainya. Namun, belum ada rezeki buat saya dan suami,” katanya kepada Harian Metro.

Isteri kepada Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail itu juga berkata, dia serta suami akan terus berusaha dan menjelang penghujung tahun ini, akan mengusahakan sesuatu. “Insya-Allah, hujung tahun ini saya akan usahakan sesuatu dan berharap semua dapat mendoakan usaha ini berhasil,” katanya.

Katanya, suaminya juga sentiasa mengingatkannya bahawa rezeki setiap hamba Allah itu sudah ditetapkan. “Saya dan suami ada berbincang dan katanya, kalau belum ada rezeki buat kami, tak mengapa. Kalau ada, Alhamdulillah. “Kadang-kadang, mungkin ada sebab kenapa Allah tak bagi (anak) sekarang. Jadi, saya akan usaha dan berdoa,” katanya. Marsha dan Shaiful disatukan sebagai suami isteri pada Disember 2015 di Pulau Pinang.