Jururawat kongsi foto emosi si isteri sendirian saat lahirkan bayi. Sekali ini pesanan jururawat tersebut.

Kehidupan keluarga Kesihatan

Liyana berkongsi pengalaman mengenai pesakit yang hendak melahirkan anak menggenggam tangannya di bilik bersalin. Mengenggam tangan suami bagi menahan kesakitan ketika hendak melahirkan anak merupakan perkara biasa di bilik bersalin. Menerusi satu perkongsian di laman Twitter, seorang gadis memuat naik foto tangannya digenggam oleh seorang pesakit yang sedang bertarung nyawa melahirkan anak.

Since Covid, husbands are not allowed to accompany their wife in labour. Bayangkanlah isteri kesakitan tapi suami tak ada di sisi. Maka misi la tukang peneman. Ni baru genggam. Belum part peluk merayu jangan tinggalkan dia dalam kesakitan. Suami, please appreciate your wife,” tulisnya.

Jururawat perbidanan berkenaan, Nur Liyana Kamal Bakri berkata, pandemik Covid-19 menyaksikan bilik bersalin ‘suram’ tanpa suami di sisi tetapi para isteri tetap sama – ‘meraung’ kesakitan. “Foto tersebut dirakamkan pada minggu lepas, syukur dia selamatkan melahirkan bayi lelaki. Sebelum pandemik Covid-19, memang hanya suami seorang dibenarkan temankan isteri di bilik bersalin. Masa musim Covid-19 ni ada hospital mempunyai SOP (prosedur operasi standard) yang tidak membenarkan suami berada di bilik bersalin walaupun ujian swabnya adalah negatif,” kata gadis berusia 29 tahun itu.

Perkongsian seorang jururawat perbidanan menjadi perhatian di laman sosial.

Lebih mesra disapa Liyana, katanya, kehadiran suami sebenarnya banyak membantu dalam melancarkan proses kelahiran dengan sokongan moral dan fizikal yang diberikan kepada isteri. “Kesakitan yang teramat sangat ketika bersalin membuatkan isteri perlukan suami. Biasanya tangan suami akan digenggam kuat untuk dia menahan sakit. Tapi bila sekarang suami tak boleh masuk ke bilik bersalin, pesakit terpaksa melakukan pelbagai cara termasuk menggenggam besi katil sekuat hati. Seperti yang berlaku pada minggu lepas apabila seorang pesakit tiba-tiba genggam tangan saya dengan kuat. Tenaga dia memang berganda-ganda bila sakit nak bersalin,” ujarnya yang berkhidmat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Kami kena berjiwa kental untuk beri semangat kepada pesakit. Bila dah keluar bilik bersalin, memang boleh menangis terkenangkan keadaan pesakit yang terpaksa bersalin tanpa ditemani suami

Walaupun tidak disarankan untuk jururawat membiarkan tangan digenggam kuat oleh pesakit, jelasnya, rasa tanggungjawab dan empatinya membuatkan dia berat untuk meleraikan genggaman itu. “Pesakit meraung dalam kesakitan, bila ada suami seperti dia transfer rasa sakit tu kepada suami untuk sama-sama rasa kesakitan tu. Saya pernah jumpa suami seorang pesakit. Dia nampak tenang orangnya. Tapi sebaik masuk bilik bersalin, dia terus berubah dan menangis tengok isteri dia dalam kesakitan dan menangis lagi terharu apabila anak dilahirkan… suami yang cool pun boleh menangis,” katanya yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

Suami wajar menghargai pengorbanan isteri melahirkan anak. -gambar hiasan

Liyana yang berpengalaman sebagai petugas kesihatan selama tujuh tahun itu menegaskan bahawa bukannya mudah bagi seorang isteri bersalin tanpa suami di sisi.

“Dia punya struggle tu berganda-ganda, seperti hilang separuh nyawa jika nak digambarkan. Kami sebagai petugas bantu untuk menenangkan dia, bagi reverse psychology. Kami kena berjiwa kental untuk beri semangat kepada pesakit. Bila dah keluar bilik bersalin, memang boleh menangis terkenangkan pesakit terpaksa bersalin tanpa ditemani suami, tapi mereka berjaya ‘berperang’ dalam bilik bersalin. Kepada kaum suami, hargailah isteri anda setinggi-tingginya. Hargai segala usaha mereka sebagai isteri dan juga wanita yang melahirkan zuriat buat anda,” katanya.