Wanita ini perlu lakukan berbagai kerja dalam sehari. Sampai terpaksa selesaikan kerja ini setelah lewat malam.

Kehidupan keluarga Viral

Noorul Hafizah sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan termasuk melipat pakaian demi menyara dirinya dan empat anak. Lipat kain memang menjadi salah satu tugas yang paling ‘dibenci’ kebanyakan wanita, tapi tidak bagi wanita ini.

Sebaliknya kerja ini menjadi salah satu punca rezeki buat Noorul Hafizah Roslan yang berusia 33 tahun. Malah, tiada istilah rehat bagi ibu muda ini apabila dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan semata-mata untuk mencari rezeki halal. Noorul Hafizah berkata dia melakukan bermacam pekerjaan demi meneruskan hidup bersama empat lagi anaknya yang masih kecil.

“Memang dari dulu akak buat macam-macam kerja sambilan walaupun sebenarnya akak dah ada kerja tetap sebagai pembantu dapur di sebuah restoran. Macam-macam akak buat dari surprise delivery, jadi runner hantar makanan atau barang, kemas rumah orang, mengasuh, lipat kain dan macam-macam lagi,” katanya. Noorul Hafizah yang menetap di Temerloh, Pahang berkata dia mempunyai empat anak berusia enam, lima, empat dan bayi berusia lapan bulan.

Noorul Hafizah bersama empat anaknya yang masih kecil.

Menurut Noorul Hafizah setiap hari, dia mula berkerja seawal subuh dan tugasnya yang banyak kadangkala memaksa dia bekerja tanpa henti sehingga lewat malam. “Akak bangun pukul 6 pagi, masak, kemas rumah sendiri… pukul 8 pagi akak pergi kemas rumah orang. Kadang tu tak rehat langsung, petang terus kerja dekat restoran sampai pukul 10 malam. Habis kerja di restoran akak pergi rumah orang lipat baju atau kadang-kadang sambung kerja hantar barangan online yang akak jual… akak jadi dropship. Pelanggan pun kadang-kadang ‘reda’ je akak datang malam, asalkan baju mereka berlipat dan kemas,” katanya.

Noorul Hafizah turut melakukan khidmat surprise delivery bersama rakannya.

Berkongsi pengalaman lucunya melipat pakaian yang ‘bergunung-ganang’, Noorul Hafizah berkata dia pernah menghabiskan lebih kurang lima jam untuk melipat semua pakaian yang dikumpul pelanggan.

“Memang nak muntah rasa tapi akak tak ada masalah sebab pelanggan semua baik-baik dan diaorang pun langsung tak kedekut. Mereka ni bukanlah malas, cuma kadang tu si suami nak mudahkan kerja isteri yang perlu jaga anak kecil, anak-anak nak ringankan beban mak ayah atau orang-orang tua yang dah tak larat, ada juga yang nak bagi pembantu mereka rehat jadi minta akak tolong lipat baju. Ada juga yang suami isteri bekerja, jadi bila cuti mereka nak luangkan masa dengan anak-anak. Kawan akak sendiri yang tahu akak perlukan duit lebih, mereka panggil tolong lipat kain, lepas tu mereka beri upah lebih,” katanya.

Noorul Hafizah pernah menghabiskan masa sekitar lima jam untuk menyudahkan tugasan melipat kain.

Usaha selagi mampu, jangan lupa doa kerana doa tanpa usaha itu sia-sia dan usaha tanpa doa itu sombong – ini antara kata-kata azimat yang dipegang Noorul Hafizah dalam mengharungi hari-harinya yang mencabar. “Setiap pagi kita perlu positifkan diri untuk tempuh hari yang mencabar, akak selalu pesan pada diri usaha selagi mampu jangan lupa doa dan tawakal. Akak juga amalkan sikap bersangka baik dengan semua orang walaupun dah bermacam-macam akak tempuh,” katanya.

Menjadi runner untuk menghantar barangan dan makanan.

Dia juga bersyukur dengan sokongan yang diterima terutama sekali daripada keluarganya yang banyak membantu terutama sekali menjaga anak-anaknya ketika dia keluar mencari rezeki.

Usaha selagi mampu, jangan lupa doa kerana doa tanpa usaha itu sia-sia dan usaha tanpa doa itu sombong.

Noorul Hafizah juga turut menasihati golongan wanita untuk sentiasa berusaha mencari pendapatan sendiri serta tidak hanya bergantung kepada sesiapa termasuk insan bergelar suami. “Nasihat akak pada wanita di luar sana, bangkitlah bagi semangat pada diri sendiri, kalau bukan kita yang bantu diri kita orang lain tak akan dapat bantu kita. Cari aura-aura positif setiap hari, ini salah satu cara untuk kita mendapat kebahagiaan, selain memberi kebahagiaan kepada orang lain. Orang yang kuat adalah orang yang sedang bersedih tapi masih mampu untuk membahagiakan orang lain dan kekal kuat untuk menempuhi cabaran hidup ini,” katanya.