Abang askar minta mak ayah merisik selepas 3 hari kenal di TikTok. Teruja jumpa sampai terus dukung.

Viral

Aksi Faiz mendukung isterinya ketika sesi fotografi. Sesi fotografi perkahwinan pastinya ditunggu-tunggu buat pasangan pengantin baharu untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan. Seorang pengantin lelaki berpakaian seragam tentera menjadi perhatian di media sosial kerana kegagahannya mendukung wanita yang baru dikahwininya. Bukan sekadar memikul pengantin perempuan menaiki bukit yang cvram, malah dia juga perlu melalui kawasan batu di tepi sungai demi mendapatkan sudut fotografi yang terbaik.

Mohammad Faiz Fitri Faizi berkata, sesi fotografi itu dilakukan di sebelah petang pada hari pernikahannya 24 September lalu. Pemuda berusia 24 tahun itu memberitahu, mereka melakukan penggambaran di Hutan Lipur Bukit Bakar di Machang, Kelantan yang menjadi tumpuan riadah penduduk setempat.

“Kawasan di situ berbatu, hutan dan ada sungai. Isteri pula pakai kasut tumit tinggi dan bajunya labuh, jadi saya dukunglah dia buat pertama kali. Tak nak isteri jatuh tergolek sebab kawasan licin, saya dukung je la. Lagipun saya dah biasa menjalani latihan fizikal angkat beban berat. Sebelum ini saya pernah angkat kawan beratnya 80kg dan pikul di bahu. Berat isteri 60 kilogram (kg), ringan je senang angkat,” katanya.

Lebih mesra disapa Faiz, katanya, dia memikul isterinya di belakangnya kerana bimbang berlakunya sesuatu kejadian tak diingini. “Kalaulah terjatuh ke depan, saya akan jatuh dahulu. Tapi saya tahu macam mana cara nak landing. Dukung dia di belakang kurang berisiko. Mula-mula isteri menjerit takut jatuh masa saya dukung dia. Tapi saya jaga betul-betul. Alhamdulillah okay, sesi fotografi berjalan lancar,” ujarnya yang berasal dari Kota Bharu.

Sesi fotografi di Hutan Lipur Bukit Bakar.

Siapa sangka jejaka yang berkhidmat sebagai tentera selama enam tahun itu hanya bersemuka dengan isteri pada hari perkahwinan selepas mula berkenalan pada Januari tahun ini. “Saya dan isteri bertemu jodoh di TikTok. Tapi masa tu saya bertugas di Sibu, Sarawak. Dia pula di Kelantan, memang kami tak pernah berjumpa.

Saya minta tolong mak, abah carikan jodoh, last-last saya sendiri jumpa jodoh di TikTok. Saya nak halalkan jadi isteri

“Kami kenal 7 Januari, tiga hari selepas tu pada 10 Januari saya minta keluarga saya hantar rombongan untuk merisik dan kami bertunang pada Februari. Sepanjang tempoh itu kami hanya video call. Kami jumpa pertama kali masa nak kahwin hari tu, terus dukung isteri di sebelah petang untuk fotografi,” ujarnya.

Mula mengenali antara satu sama lain di TikTok.

Menurut Faiz, dia sememangnya sudah berazam untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini. “Saya minta abah dan mak tolong carikan calon isteri. Memang saya berazam nak kahwin tahun ini. Tapi bila dah kenal dengan isteri saya di TokTok, saya terus berkenan. Saya minta tolong mak, abah carikan jodoh, last-last saya sendiri jumpa jodoh di TikTok. Saya nak halalkan jadi isteri,” ceritanya mengenai isteri, Wan Suria Najihah Wan Rukeman yang berusia 18 tahun.

Azam Faiz untuk berkahwin tahun ini tertunai.

Dalam pada itu, pemuda ini juga berkebolehan memasak malah sering memasak sambil membuat panggilan video bersama bakal isterinya yang ketika itu berjauhan. “Dari dulu saya boleh masak seperti tom yam, ayam masak merah, ayam masak kunyit dan masak cili api. Saya lebih suka memasak daripada membeli. Hari pertama kahwin, saya masak tom yam ayam untuk satu keluarga isteri. Alhamdulillah, mereka puji masakan saya. Seronok tengok mereka happy,” katanya. Sumber : Mstar

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.