Rasa macam kahwin dengan suami kakak ipar. Terkejut isteri baru je lepas kahwin suami layan kakak ipar macam isteri sendiri. Akhirnya isteri nekad lakukan sesuatu yang mengejutkan.

Kisah Rumah Tangga

Gambar Sekadar Hiasan.

Assalamualaikum, Aku L bukan nama sebenar. Berusia awal 30an dan baru sahaja berumah tangga serta belum memiliki anak. Apa yang akan aku ceritakan ini mungkin juga berlaku pada pasangan lain di luar sana. Untuk pengetahuan, aku bekerja di sektor swasta begitu juga dengan suami aku.

Setelah berkahwin aku diajak tinggal di rumah mertua. Dari awal aku agak tidak selesa bukan kerana rumah yang kecil (aku juga pernah tinggal diperumahan sebelum ni) tetapi akan kerana tinggal sebumbung dengan adik adik ipar lelaki.

Batasan aurat sangat perlu dijaga sebab mak mertua ku agak alim orangnya. Pernah aku di tegur hanya kerana memakai baju pendek ketika bermain badminton di luar rumah. Tapi mak sangat baik dan sayangkan aku. Eh, bukan ini yang aku nak ceritakan sebenarnya.

Yang ingin aku ceritakan sebenarnya adalah melibatkan suamiku dan kakaknya iaitu kakak ipar ku. Suamiku kerjanya biasa biasa aja. Dia disayangi oleh seluruh keluarga besar mertuaku. lbarat orang kuat dalam keluarga.

Sebelum berkahwin kerjanya agak bagus tetapi di suruh semua orang pulang dan berbakti di kampung. Baliklah dia dari merantau di negeri orang. Masalah yang aku hadapi sekarang adalah semua benda di rumah suami aku yang buat, kalau ada yang rosak dia yang baikikan kalau tak cukup kipas dia belikan, tak cukup itu ini suami aku juga yang akan keluarkan modal.

Sedangkan ramai lagi yang tinggal sebumbung dan berkemampuan. Beli barang dapur, bil letrik, bil air dia bayarkan tu aku tak kisah sebab aku juga menumpang dan itu juga tugas dia sebagai seorang anak.
Bila keluarga mertua ajak makan besar diluar suamiku juga yang akan bayar untuk semua orang (walaupun adik beradik yang lain kerja gajinya lebih besar).

Bukan aku nak berkira tapi setiap kali makan di luar begitu lah kejadian nya takde langsung yang ringan tangan hulur untuk tolong bayarkan sekali. Malah setiap kali ingin keluar makan aku seakan tidak mahu menurut serta kerana kesiankan suamiku. Apakan daya kalau tak ikut dikatanya sombong tak mahu bercampur dengan keluarga. Aku sungguh tersepit.

Ni aku ceritakan pula pasal kakak iparku. Oh dia belum berkahwin ya. Dialah yang control suami aku dalam semua perkara oleh kerana suamiku tersangat rapat dengannya. Segala perihal suami akan bercerita terlebih dahulu kepadanya termasuklah hal peribadi kami berdua kemudian barulah kepada aku.

Kekadang akulah orang last yang dapat tahu akan sesuatu perkara. Kesiankan aku ni. Suami aku dah macam suami kakak iparku. Di turutnya bagai permaisuri. Yang paling aku nak marah ‘barang peribadi kakak’, keperluan, kadang kereta juga ada suami yang tolong bayarkan. Ala senang cerita bodek sikit terus dapat, walhal kakaknya mempunyai pendapatan sendiri.

Aku sebagai isteri semua keperluan aku beli sendiri, kereta pun aku yang bayar. Ye aku dengki! Aku dengki sebab aku tak di layan sepatutnya dan tidak adil bagi aku. Bab di dapur juga tidak kurang hebatnya (aku jarang masak kecuali hari minggu sebab bekerja).

Bila aku masuk dapur ada saja yang tak kena itu la ini lah tak sedap la tak cukup masin la tak reti masak la macam macam kritikan yang aku terima dari kakak iparku. Aku give up untuk masuk dapur. Dah jadi rutin aku untuk makan dahulu di tempat kerja sebelum balik nanti tak payah nak hadap dah kakak ipar dengan muka mencuka dia.

Hidup aku awal pagi sampai petang hanya di tempat kerja. Malam akan terperuk dalam bilik. Weekend lebih gemar untuk pulang ke kampung family aku walaupun kekadang balik seorang diri. Setelah beberapa bulan aku menetap dirumah mertua, pernah beberapa kali aku ajak suamiku untuk berpindah dan menyewa di tempat lain.

Tapi suamiku bangkang sekeras kerasnya dengan alasan nanti mak pindah bolehlah kita duduk bilik depan. (Mak akan berpindah balik ke kampung tetapi tahun bila belum tahu lagi). Untuk pengetahuan semua aku dan suami duduk di bilik paling kecil dalam rumah sedangkan kakak iparku yang belum berkahwin duduk di bilik tengah yang dua kali besarnya berbanding bilik ku dengan segala kelengkapan bilik adalah titik peluh suami ku.

Apabila aku menyuarakan mahu berpindah sebab nak merasa duduk sendiri padahal tak tahan dengan kakak iparku. Dia sangat tidak bersetuju dan marah marah. Mana tidaknya sumber pendapatan akan hilang bila suami aku tiada. Tiada lagi orang yang boleh melayan dia seperti permaisuri. Kes pindah tiada kesudahan. Setiap kali aku menyuarakan untuk berpindah akan berlaku prbalahan dengan suami.

Begitulah kehidupan aku di rumah mertua, dengan kakak ipar lagak gaya seperti permaisuri dari hujung rambut sampai hujung kaki ditaja suamiku. Tu belum masuk bab adik beradik balik bercuti lagi. Banyak sangat yang terbuku di hati. Moga aku terus kuat. Doakan ya. Terima kasih kerana sudi membaca luahan aku. Isteri yang tak macam isteri…

5 Sebab Jangan Duduk Serumah Dengan Mentua Atau Mak Ayah Lepas Berkahwin

“Faris, nanti lepas kahwin kau ajaklah isteri duduk dengan Mak Ayah ni. Rumah ni kan besar, semua barang dah ada. Lagipun nanti sunyi je bila tak ada orang…” Pilihan untuk tinggal bersama ibu bapa bagi pasangan yang baru kahwin mungkin dilihat sebagai sesuatu yang memudahkan. Dapat jimat bayar rumah sewa, semua barang keperluan pun dah sedia ada. Tak payah susah-susah lagi nak beli dapur masak, perabot, katil, dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, fikirkan sehabis-habisnya sebelum anda bertindak membawa pasangan tinggal serumah dengan ibu bapa atau mentua. Berikut adalah antara cabaran yang perlu anda hadapi, terutamanya bagi yang baru berkahwin.

1. Kurang Privasi

Kehidupan anda selepas berkahwin tidak lagi sama seperti kehidupan zaman bujang dahulu. Walaupun ada yang dah bertahun kenal dengan pasangan, tinggal serumah dengan mereka tentunya akan tinggalkan perasaan yang berbeza berbanding semasa bercinta dahulu. Bila dah tinggal serumah, biasanya hal-hal kecil pun boleh menimbulkan persoalan, kemarahan, prbalahan, atau rasa sakit hati.

Pada awal perkahwinan ini jugalah anda perlu banyak berkomunikasi antara satu sama lain dengan telus dan saling bertolak-ansur. Namun jika ia semua berlaku di rumah sendiri, ia lebih mudah diatasi kerana anda punya ruang dan privasi sendiri untuk menjiwai serta memahami perasaan pasangan dengan lebih mendalam.

2. Tak Dapat Belajar Berdikari

Orang kata, selagi kita belum pernah pindah dari rumah mak ayah, bayar sewa rumah, bil, makan minum, dan keperluan sendiri, selagi itulah kita belum benar-benar belajar untuk berdikari. Semua pengalaman dan kesusahakan inilah yang akan mengajar kita erti tanggungjawab serta selok-belok kehidupan yang sukar didapati apabila menumpang di rumah orang.

Setua mana pun usia kita, ibu bapa akan selalu melihat anak mereka sebagai ‘anak kecil’. Mereka akan selalu risaukan kita dan mahu cuba memberi pertolongan kepada kita. Oleh itu, kuranglah peluang untuk anda melihat dan menerokai ‘dunia sebenar’ di luar sana,

3. Isu Aurat

Dalam budaya dan agama kita, isu aurat adalah isu yang tidak wajar dipandang remeh. Apabila tinggal serumah dengan orang lain, si isteri terutamanya, tidak mempunyai kebebasan untuk berpakaian sebebasnya, walaupun bertujuan untuk dilihat oleh suami saja. Lebih-lebih lagi jika ada ipar yang tinggal bersama, kenalah bertudung sepanjang masa. Nak keluar masuk bilik air pun rasa segan, apatah lagi nak bersantai tengok TV dengan pasangan.

4. Sukar Membuat Keputusan

Rasa serba-salah akan sentiasa membelenggu diri apabila ada keputusan yang perlu dibuat – sama ada nak dahulukan ibu ayah / mentua atau pasangan. Kadang-kadang, kita pun tak perasan bahawa tindakan kita ada menyakitkan hati mereka atau buat salah seorang daripada mereka rasa tersinggung. Situasi ini tentunya sukar dan akan menjadikan anda mudah stres. Pening kepala, tak tahu nak buat apa!

5. Senang Berlaku Salah Faham

Hanya dengan cara jelingan mata, bahasa tubuh, dan gerak-geri, salah faham boleh berlaku antara ahli di dalam rumah. Sekalipun tiada sebarang maksud atau mesej yang ditujukan, begitulah mudahnya salah faham boleh berlaku. Walaupun hubungan dengan semua memang baik, namun ia sedikit sebanyak membuatkan pergerakan anda rasa tidak bebas dan sering diperhati.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU AYAH TETAP TIDAK DILUPAKAN

Pertimbangkan prioriti atau keutamaan anda dalam membuat keputusan untuk bawa pasangan tinggal serumah dengan ibu ayah atau mentua. Bukannya mahu melarikan diri daripada tanggungjawab menjaga ibu ayah, tapi fikirkan semula adakah kita yang menjaga mereka atau sebaliknya?

Cubalah hadapi kesusahan sendiri dan mulakan hidup anda di rumah berasingan walaupun terpaksa mengikat perut dan berjimat cermat. Apapun, sekiranya keadaan betul-betul memerlukan anda untuk tinggal bersama kedua ibu bapa mahupun mentua, fahamkan cabaran yang bakal dihadapi dan buat persediaan mental.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil sebab ada juga pasangan yang bahagia apabila tinggal serumah dengan ibu bapa atau mertua. Yang penting, sentiasalah berkomunikasi dengan sihat sesama ahli dalam keluarga dan bersedialah untuk bertolak-ansur sesama anda. Mudah-mudahan, semuanya elok-elok saja.