Sekali tengok macam kena halau dari rumah. 4 sahabat teruja nak berkelah sampai sanggup bentang karpet depan rumah.

Viral

Akibat cembvru melihat orang lain berkelah walaupun aktiviti ini telah dibenarkan oleh kerajaan, seorang wanita mengambil pendekatan yang lebih selamat dengan melakukannya di depan rumah rakannya. Menerusi rakaman yang dimuat naik wanita berkenaan, dia dan beberapa individu lain kelihatan sedang terbaring di atas permaidani sambil melihat bintang pada waktu malam. Video tersebut setakat ini meraih hampir 130,000 tontonan di aplikasi TikTok.

Pemilik video berkenaan, Nurasyikin Shuhada Mohd Fazel, 27, berkata, video tersebut dirakam sewaktu dia dan rakan-rakannya kekenyangan selepas makan berkelah. Menurut Nurasyikin Shuhada, mereka sepakat mengadakan BBQ di depan kawasan rumah seorang rakan, Nur Khaleda Zanal Puat, 27, yang terletak di Taman Pinji Perdana, Perak, pada Ahad lalu.

“Waktu tu saya dan kawan-kawan dah kekenyangan selepas makan kambing bakar. Kami buat BBQ di perkarangan rumah kawan dan menghabiskan masa dengan bertukar cerita masing-masing. Tak silap saya masa tu dah pukul 10 malam, kami terus angkut karpet letak depan rumah dan masing-masing pun baring sambil makan jajan. Saya dah berkawan selama 14 tahun dengan mereka, itu yang ‘gila-gila’ selamba sampai terbaring. Kalau tak ada orang lain yang ingatkan, mahu tertidur di tengah jalan tu,” katanya yang menetap di Simpang Pulai, Perak.

Lebih mesra disapa Shekin, dia mengakui sudah lama merancang untuk berkelah dengan kawan-kawannya tetapi tidak berkesempatan kerana semuanya sibuk bekerja dan aktiviti itu tidak dibenarkan sebelum ini. Tambahnya, perkelahan itu sebenarnya tidak dirancang dan ia merupakan idea spontan selepas semua rakannya bersetuju kerana mereka tidak bekerja pada hari tersebut.

“Bila semuanya cuti, maka timbullah idea picnic depan rumah. Kami memang takut sikit untuk pergi tempat yang sesak sebab kawan saya tu ibu bapa dia tak berapa sihat, jadi agak takutlah kalau nak pergi ke pantai macam orang lain. Persiapan picnic tu pun tak ambil masa yang lama pun sebab tak dirancang. Petang tu saya cakap dekat mereka ‘malam ni kita jadi lepak’ dan semua bersetuju walaupun terkejut sebab tak rancang apa-apa.

Idea tersebut muncul secara spontan dan kebetulan Shekin dan rakan-rakannya bercuti pada hari yang sama

“Ada yang bawa karpet sebab kami tak ada tikar dan seorang lagi bawa makanan untuk picnic yang tak dirancang ni. Mula BBQ dari pukul 8.30 malam, berlarutan jam 12 tengah malam, itu pun sebab ayah salah seorang daripada kawan saya dah telefon. Jarak rumah kami dengan rumah kawan saya tu tak jauh mana pun dan masih dalam satu daerah,” katanya yang bekerja sebagai kerani sebuah syarikat kuari di Simpang Pulai, Perak.

Bercerita lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu memberitahu bahawa karpet tersebut dibentang di atas jalan lengang berhadapan dengan masjid. Justeru, beberapa pengunjung masjid sempat berborak dengan mereka sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas solat Isyak.

“Pakcik-pakcik yang pulang dari masjid tanya kami buat apa. Mereka borak dengan kami dan beritahu orang Arab waktu dahulu buat macam inilah, suka berkelah di mana-mana. Pakcik-pakcik tu semua okay je, tiga empat orang juga singgah berborak, bergurau dan lepas tu balik rumah. Tetapi mereka memang okay je, lagipun buat depan rumah kawan, tak ganggu sesiapa atau halang laluan.

Apa pun masalah, jalan terus dan senyum sebab waktu ni setiap dari kita ada cabaran masing-masing.

“Anak-anak saya pula memang seronok sebab feeling tepi pantai habis, siap lari ke sana sini kira bintang. Kami yang dewasa ni sembang pasal zaman sekolah, lepas tu wishlist nak pergi mana lepas pandemik berakhir. Ada juga la sembang pasal betapa tertekannya rakyat Malaysia terkurung lama, dengan yang kena buang kerja lagi,” ujarnya.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata dia sememangnya berhasrat untuk membawa keluarganya berkelah di tepi pantai, namun terpaksa melupakannya dahulu kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Bagaimanapun, Shekin mengamalkan sikap positif biarpun menghadapi cabaran hidup dalam musim pandemik.

“Memang ada plan nak pergi berkelah dengan famili. Tapi bila tengok keadaan semasa dengan anak pun kecil lagi, saya terpaksa lupakan dulu. Lagipun kami ni jenis tak suka merancang, jadi lepas Covid-19 habis ni kita go with the flow je la.

Shekin terpaksa melupakan niatnya yang mahu membawa keluarganya berkelah di tepi pantai dalam masa terdekat. “Pada saya, hidup ni kasi redah je. Apa pun masalah, jalan terus dan senyum sebab waktu ni setiap dari kita ada cabaran masing-masing. Tapi senyum sahaja dan hargai rakan-rakan yang ambil berat tentang kita kerana kadang-kadang mereka ni la sumber kekuatan kita,” katanya. Sumber : Mstar

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.