Pengantin dah siap sedia di masjid. Sekali Tok Kadi santai memandu pergi ladang dan rupanya ini yang terjadi.

Viral

Foto kiri pacuan empat roda yang dipandu tok imam, foto kanan Afiq bersama isteri di pelamin. Sama ada pengantin lelaki atau perempuan, pastinya mengalami dr4h gemuruh untuk bergelar ‘raja sehari’. Lebih gementar apabila kelibat tok kadi yang sepatutnya ditugaskan untuk akad nikah tidak kelihatan. Menerusi satu video yang tular, pengantin perempuan yang menaiki sebuah kereta berselisih dengan kenderaan dipandu tok kadi di laluan bertentangan.

“Tok imam lupa hari ini aku kahwin. Tok imam siap-siap nak masuk ladang dah, kena pusing balik. Kalu tak, tak nikahlah aku hari ni,” tulis pengantin lelaki menerusi akaun TikToknya. Pengantin lelaki, Nik Mohd Afiq Nik Zainal memberitahu, kejadian berlaku di hari pernikahannya pada 21 September lalu di Felda Kemahang di Tanah Merah, Kelantan. Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, majlis akad nikah dijadualkan berlangsung pada pukul 9 pagi di sebuah masjid dan dia bersama keluarganya tiba di luar masjid setengah jam lebih awal.

“Disebabkan masih mengikut SOP (prosedur operasi standard), kami menunggu di luar masjid terlebih dahulu sementara tunggu tok imam (tok kadi) sampai. Bila dah pukul 9 pagi, tok imam tak sampai-sampai. Tak nampak kelibat dia pun. Saya mula tertanya sebab pelik, betul ke masjid yang kami pergi,” katanya.

Isteri Afiq.

Lebih mesra disapa Afiq, dia berkata adalah mustahil rombongannya tersilap lokasi kerana jurugambar juga tiba awal di masjid berdasarkan maklumat yang diberikan pihak pengantin perempuan. “Memang itu masjidnya, cuma tok imam tak nampak batang hidung… pintu pagar pun bertutup. Pengantin perempuan pula beritahu dia datang lambat sikit sebab tengah mekap.

“Dalam perjalanan ke masjid, pengantin perempuan berselisih dengan kereta pacuan empat roda yang dipandu tok imam yang sepatutnya menikahkan kami, pakai baju biasa nak masuk ke ladang. Isteri hantar video yang viral tu kepada saya sebelum sampai ke masjid. Katanya tok imam pulang ke rumahnya semula untuk bersiap-siap,” katanya yang berasal dari Tanah Merah.

Afiq dan isteri mengenali selama tiga tahun sebelum berkahwin.

Menurut Afiq, tok imam yang juga tok kadi itu akhirnya tiba di masjid menyempurnakan akad nikahnya bersama gadis pilihan yang dikenalinya tiga tahun lalu. Namun, perasaan gemuruhnya pada hari berkenaan bukan kerana bimbang gugup ketika akad nikah seperti mana yang dirasai oleh setiap pengantin lelaki sebelum bergelar suami.

Memang itu masjidnya, cuma tok imam tak nampak batang hidung… pintu pagar pun bertutup. Pengantin perempuan pula beritahu dia datang lambat sikit sebab tengah mekap

“Nak nikah itulah yang paling tak nervous sebab saya dah ready nak kahwin. Tapi nervous bila tok imam tak muncul-muncul depan mata. Paling nervous menunggu ketibaan isteri. Sepanjang perkenalan, saya tak pernah menunggu lama kerana dia suka mekap ringkas. Cuma kali ni mekap lama dengan mak andam sebab nak kahwin,” tambahnya.

Pasangan ini berkahwin di Tanah Merah, Kelantan.

Peniaga baju bundle dalam talian itu berkata, akad nikah yang selesai pada kira-kira pukul 9.30 pagi itu dengan sekali lafaz. “Sebelum majlis akad nikah bermula, tok imam meminta maaf. Tok imam ingat kami nikah bulan depan, dia ingat tarikh 21 tapi bulan depan iaitu 21 Oktober. Pada awalnya tarikh kami nikah dirancang pada 12 September. Dua bulan lalu ia diubah kepada 21 September, kerana mahu majlis di pihak pengantin lelaki yang dibuat secara tertutup sekali bersama ibu saudara yang berkahwin pada 26 Oktober,” ujarnya.

Secara kebetulan, kata Afiq, tarikh baharu untuk nikah itu jatuh pada hari lahirnya, sekali gus memudahkannya untuk mengingatinya pada hari berkenaan. “Satu pengalaman yang kelakar dan tidak dijangka, ramai yang terhibur. Sekarang senang ingat tarikh nikah untuk anniversary sebab birthday saya, selain insiden tok imam nyaris ke ladang kerana terlupa saya dan isteri nak bernikah,” ujarnya secara berseloroh. Sumber : Mstar

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.