Pada zaman ini wanita perlu keluar dari segala ketakutan. Menunjukkan kepada dunia bahawa wanita mampu berdikari.

inspirasi Kehidupan Selebriti Wanita

KEHADIRAN ‘band girl’ Dolla semakin diterima baik dan mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan. Bermula dengan single pertama mereka, Make You Wanna kumpulan dianggotai empat wanita ini berjaya mencipta fenomena.

Bakat dan keunikan yang dimiliki Dolla sekali gus menepis tanggapan segelintir pihak yang melihat kemunculan mereka ini hanya sekadar ‘menjual’ rupa dan penampilan semata-mata.

Namun, sangkaan itu meleset menerusi beberpa pencapaian single yang dilancarkan selepas itu. Malah, single Raya Raya Raya yang dikeluarkan sempena sambutan Aidilfitri lalu menjadi siulan ramai selain trending di Youtube dan di pelantar muzik digital.

Tidak mahu membiarkan peminat ternanti-nanti kelainan yang bakal ditampilkan,Dolla yang dianggotai Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo), Tabitha Ariel Lam (Tabby), Angelina Chai Ka Ying (Angel) dan Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya) muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Berani.

Sabronzo, 26, yang mewakili Dolla berkata, lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh John Jeeves dan Firdaus Rahmat itu sedikit berbeza daripada kebanyakan single mereka sebelum ini.

“Dari ‘teaser’ yang Dolla sudah muat naik di Instagram, boleh dengar yang instrumental lagu ini memang lain. Malah, ‘vibe’ dan genre juga lain daripada lagu yang Dolla buat sebelum ini.Dalam erti kata lain, kali ini kita buat ia perlahan sedikit.

“Mungkin peminat akan tertanya-tanya kenapa single kali ini berbeza dari segi susunan muzik. Bagi saya, Dolla juga nak tunjukkan sisi lain yang selama ini ramai tidak tahu terutamanya dalam muzik ini.

“Paling penting, kami mahu buktikan Dolla juga versatil sebagai kumpulan M-Pop,” katanya.

Berani mengisahkan tentang pemerkasaan wanita melalui sistem sokongan selain mahu mengangkat martabat wanita menerusi semangat juang dengan bangkit melawan penindasan dan ketakutan.

“Pada zaman ini, wanita perlu keluar dari segala ketakutan dengan menggantikan nya dengan berani dan menunjukkan kepada dunia bahawa dia tidak takut, berani dan berdikari.

“Jadi, jelas tema yang ingin disampaikan dan diketengahkan menerusi lagu ini adalah sebuah semangat dan membangkitkan keberanian dalam diri wanita. Bukan apa, hari ini masih ramai wanita yang takut untuk berubah kerana berasakan diri mereka lemah.

“Disebabkan itu,wanita perlu sentiasa ada sokongan yang kuat dari orang sekeliling,” ujarnya.

Kata Sabronzo lagi, tema yang diketengahkan dalam karya itu ditujukan khas buat peminat setia mereka yang sudah banyak memberikan sokongan dari awal kemunculan Dolla.

“Kami dedikasikan lagu ini buat seluruh peminat kami yang digelar iDolla kerana setia memberikan sokongan dan sentiasa berada bersama kami.

“Itu sudah cukup memberikan motivasi dan inspirasi kepada kami untuk terus berjaya dan memberikan yang terbaik dalam bidang muzik ini.”

“Harapan Dolla adalah semoga iDolla dan peminat muzik tempatan boleh menghargai serta ‘enjoy’ dengan lagu Berani ini. Paling penting juga harapnya pendengar dapat menerima sisi lain Dolla dalam lagu ini,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Sabronzo mengakui Dolla teruja untuk kembali memeriahkan industri muzik tanah air selepas semua aktiviti seni dan persembahan dibenarkan beroperasi.

“Sekarang Dolla memang sudah ada merancang untuk membuat persembahan secara langsung untuk beberapa acara. Jadi, kami sangat teruja sebab dapat membuat persembahan semula untuk semua. Dalam masa sama, menerusi Berani, kami boleh fokus dari segi vokal.

“Selain itu, buat masa sekarang kami mahu memberi fokus pada lagu terbaharu ini dulu dan dalam masa sama ada lagu baru lain yang sedang dalam proses pembikinan,” kongsinya lebih lanjut.

Berkongsi lanjut mengenai video muzik (MV) yang diarahkan oleh Thaqif Saadon itu,Sabronzo berkata terdapat beberapa faktor yang menjadikan MV ini lain daripada yang lain.

“Pertama adalah pengunaan medium animasi dalam mengambarkan Dolla di suatu alam yang berbeza. Dengan masa yang diberikan, kami sepenuh tenaga mengumpulkan segala kudrat untuk menghasilkan MV yang kami percaya akan mengangkat martabat animasi kepada aras yang lebih tinggi.

“Dari segi teknikal juga, kami mengaplikasikan beberapa teknik baharu dalam membolehkandan membuka kunci kepada apa yang kami ingin sampaikan daripada imaginasi kami ke dalam bentuk visual. Perkara itu adalah pengunaan Projeksi 2D ke atas bahan 3D membolehkan kami melakukan adegan dan juga animasi yang kami tidak boleh sebelum ini.

“Dari segi penyampaian cerita juga, kami cuba yang terbaik untuk menyampaikan suatu cerita fantasi yang bergantung kepada penonton untuk huraikan dan impretasikan diri mereka sendiri,” katanya.

Sabronzo berkata, MV BERANI mengambil masa dua bulan untuk disiapkan di mana tempoh sebulan diambil bagi produksi untuk menghasilkan MV ini.

Pada 20 September lalu, Dolla menjadi artis ketiga tanah air muncul di Billboard New York Times Square. Dalam masa sama, Dolla turut dilantik sebagai antara duta Spotify equal SGMY.

Sumber: Utusantv.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.