Tak takut untuk ambil risiko. Zoey Rahman nekad beri sumbangan pada penghantar makanan.

Artis

DEMI memberikan sumbangan kepada pekerja penghantar makanan, pelakon Zoey Rahman terpaksa mengambil risiko berdepan dengan wabak Covid-19 yang kini semakin meningkat. Bagaimanapun, Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, dia dan pasukannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepanjang program itu berlangsung.

“Saya tak kisah untuk turun padang menghulurkan bantuan sebab sepanjang program itu, saya dan team memang menjaga serta mengikut SOP. “Lokasi itu juga dikawal oleh pasukan Rela yang akan memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Selain itu, kita berserah kepada Allah.

“Kalau nak kena (jangkitan Covid-19), itu adalah takdir yang sudah tertulis. Yang penting, kita kena sentiasa menjaga SOP,” katanya kepada mStar. Mikaseries Peduli merupakan program kemasyarakatan anjuran Mikaseries dengan kerjasama Big Mouth dan Mc Donald’s Mutiara Damansara.

Program yang diadakan pada Jumaat lalu itu lebih fokus kepada sumbangan petrol, makanan dan barangan keperluan kepada pekerja penghantar makanan. Dalam pada itu, Zoey memberitahu sebelum ini bantuan seperti barangan keperluan harian lebih tertumpu kepada golongan ibu tunggal.

Bersyukur program tersebut menerima sambutan banyak pihak, Zoey berkata dia dan pasukannya mengambil inisiatif lain dengan mendekati pekerja penghantar makanan. “Sebelum ini banyak sumbangan diberikan kepada golongan ibu tunggal dan lain lain yang berbentuk barang keperluan harian.

“Jadi pihak kami mengambil inisiatif lain untuk mendekati golongan frontliners yang banyak membantu masyarakat menghantar keperluan makanan sewaktu PKP. “Alhamdulillah program ini mendapat sambutan banyak pihak. Insya-Allah lepas ini ada beberapa pihak lagi akan turut serta dan bekerjasama dengan kami,” ujarnya.