MEMAHAMI nasib wanita yang teraniaya dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya, pelakon dan usahawan Nur Nilam Ortiz mengambil inisiatif menubuhkan pasukan peguam bagi membantu golongan terbabit. Nilam, 45, berkata dia bersama pasukan peguamnya kini mula menguruskan kes terpilih dengan menawarkan bantuan guaman secara percuma yang dibiayai menggunakan wang peribadinya sendiri.
“Alhamdulillah, hari ini saya bersama pasukan peguam sudah mula bergerak untuk menguruskan kes-kes yang diambil bagi membantu wanita-wanita teraniaya. Bantuan guaman percuma ini dibiayai secara peribadi oleh saya sendiri,” katanya menerusi hantaran di Threads. Dia turut berkongsi rakaman video yang memaparkan dirinya bersama pasukan peguam yang bakal mengendalikan wanita teraniaya.
Bekas isteri kepada pelakon Azlan Komeng itu berkata, pengalaman memahami kesakitan akibat kezaliman mendorongnya untuk membantu individu yang tidak berkemampuan mempertahankan hak mereka. Menurutnya, lebih menyedihkan apabila ada mangsa terpaksa berdiam diri bukan kerana mereka bersalah, sebaliknya tidak mempunyai wang untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.
“Sebab saya tahu betapa sakitnya apabila seseorang dizalimi, tetapi tidak mampu mempertahankan diri. Lebih menyedihkan apabila mereka terpaksa berdiam diri bukan kerana mereka salah, tetapi kerana tidak mempunyai wang untuk mendapatkan pembelaan.
Saya tak mampu mengubah nasib semua orang. Tapi kalau Allah izinkan saya menjadi sebab seseorang mendapat kembali hak dan keadilan, itu pun dah cukup bermakna buat saya. Doakan urusan kami dipermudahkan,” ujarnya. Dalam pada itu, Nilam menjelaskan setiap kes yang diterima perlu diteliti terlebih dahulu, termasuk dari segi bukti, keadaan individu terbabit dan lokasi, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan sewajarnya.
“Bagi yang masih belum menerima jawapan, saya mohon bersabar ya,” jelasnya. Untuk rekod, Nilam dan Azlan mendirikan rumah tangga pada 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang dikenali sebagai KJ. Pasangan itu mengesahkan perceraian mereka pada 13 Mac lalu.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.