Macam dah nampak sinar harapan. Kini pesakit Covd19 kurang 5 kali ganda yang perlukan bantuan oksigen.

Petua Viral

“Kita jangka trend penurunan pesakit dan tahap ini akan berterusan dan keadaan akan kembali lebih baik untuk tempoh dua ke tiga minggu lagi.” Begitulah kata-kata daripada Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Dr Shahabuddin Ibrahim berkenaan penurunan sebanyak lima kali ganda berbanding sebulan lalu melibatkan pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan oksigen di lokasi itu. Perkembangan itu sekali gus memberikan sinar harapan bahawa situasi COVID-19 di negara ini semakin baik.

Trend penurunan positif itu berlaku semenjak tiga ke empat minggu lalu dimana jumlah pesakit yang memerlukan bantuan oksigen hanya 109 orang berbanding 525 orang sebelum ini. “Rekod paling tinggi sebelum ini ialah 525 pesakit COVID-19 kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen. Kini, jumlah pesakit adalah seramai 2,456 orang dengan 109 pesakit kategori empat dan 1,930 kategori tiga. Manakala pesakit yang terdiri daripada golongan warganegara adalah seramai 2,324 orang dan 132 orang bukan warganegara. Sebelum ini, pada 8 Ogos lalu, kita mempunyai seramai 525 pesakit kategori empat dan 1,789 pesakit kategori tiga. Alhamdulillah, ini menunjukkan keadaan semakin baik dengan pesakit kategori tiga adalah dominan ketika ini,” kata Dr Shahabuddin.

Ujar Dr Shahabuddin lagi, PKRC berkenaan memang sudah bersiap sedia dengan tangki oksigen dan mesin oxygen concentrator dalam jumlah yang banyak bagi menampung jumlah pesakit kritikal dengan bantuan Jabatan Kesihatan Selangor (JKS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pun begitu, disebabkan bilangan pesakit yang memerlukan mesin berkenaan semakin berkurangan dan keadaan sudah agak baik, sebanyak 470 mesin oxygen concentrator diagihkan untuk kegunaan negeri lain seperti Pahang, Johor, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu. Tambah Dr Shahabuddin lagi, petugas kesihatan di PKRC MAEPS 2.0 sudah boleh berasa sedikit lega dengan situasi sekarang. Malah, ramai petugas kesihatan yang datang dari negeri lain untuk membantu juga sudah pulang ke tempat mereka. Ujar beliau, perkembangan positif itu membuktikan keberkesanan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Sumber: Sinar Harian

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.