Banyak sangat berkorban. Azizul Hasni hargai jasa bakti John Beasley sebab banyak sangat kebaikan yang dia pernah buat.

Sukan

Kejayaan Dato’ Azizulhasni Awang memenangi pingat perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin tempoh hari sememangnya memberi senyuman kepada seluruh rakyat Malaysia. Beliau yang sudah selamat sampai ke Tanah Air begitu bersyukur kerana usaha gigihnya membuahkan hasil walaupun impian menggenggam pingat emas belum kesampaian.

Ketika ini beliau sedang menjalani kuarantin wajib susulan baru pulang ke Malaysia semalam dan sempat membuat beberapa posting penghargaan buat pihak-pihak yang bertanggungjawab memastikannya membawa pulang pingat di Olimpik Tokyo kali ini.

Hargai jasa jurulatih

Salah satu posting yang menarik perhatian ramai adalah ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada jurulatihnya, John Beasley. Menurutnya,  John Beasley bukan hanya seorang jurulatih, tetapi lebih daripada itu. Dalam penulisannya, Azizul telah menceritakan kebaikan yang pernah dilakukan oleh John Beasley kepadanya dan beberapa atlet berbasikal negara. Antaranya ialah memberikan makanan kepada mereka walaupun ketika itu beliau belum menjamah makanan demi memastikan atlet dibawah kendaliannya mempunyai berat badan mencukupi.

“Teringat zaman muda remaja dahulu, ketika atas kapal terbang John Beasley selalu bagi ‘flight meal’ beliau kepada saya dan katanya dia tidak lapar. Saya naif dan percaya bulat-bulat, walhal beliau nak saya tambah berat badan dan makan dengan cukup.” tulisnya.

Kerap diintai negara luar tapi masih setia di Malaysia

Anak kelahiran Terengganu itu turut memaklumkan yang betapa besar jasa Beasley  kepada negara ini kerana melahirkan ramai atlet berbasikal hebat dan beliau juga kerap diintai negara luar yang mahu menggunakan khidmat kejurulatihannya. Namun begitu, Azizulhasni menambah secara berseloroh yang jurulatihnya seperti sudah terkena ‘nasi kangkang’ Malaysia kerana tetap taat berbakti untuk negara ini.

Ucap terima kasih kepada semua

Selain daripada mengucapkan terima kasih kepada John Beasley, Dato’ Azizulhasni juga sempat menzahirkan rasa terima kasihnya kepada beberapa individu lagi termasuklah isteri kepada Beasley,  Vicky Beasley. Umum sedia tahu, pencapaian memenangi pingat perak di Olimpik Tokyo tempoh hari merupakan satu hadiah yang sangat bermakna buat Malaysia.Selain daripada menerima pingat perak, beliau juga turut mendapat perkhabaran yang sangat bermakna apabila isteri tersayang sedang hamil anak ketiganya.

Sumber: Instagram Azizulhasni Awang

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.