Bayar RM2 tapi tak bayar langsung pun boleh. Pasangan ini jual nasi bajet tak kira untung dan ini niat mereka sebenarnya.

Fakta keluarga Viral

Nasi bajet yang dijual turut diberikan secara percuma kepada mereka yang tidak berkemampuan. Bukan semua yang berniaga mahu mengaut keuntungan semata-mata terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Begitulah yang disaksikan oleh seorang orang awam terhadap sebuah gerai nasi bajet, di mana ia memberikan menu itu secara percuma kepada mereka yang tidak berkemampuan. “Kalau kita mampu beli. Beliau mampu juga sedekah jika berlebihan,” menerusi ciapan pengguna Twitter @rudyakhbar_ sehingga diulang kicau lebih 17,000 kali. Pengusaha gerai itu, Fathee Abdullah berkata, dia sebenarnya baru menjalankan operasi bersama isteri di Bandar Sri Permaisuri di Cheras, Kuala Lumpur, pada hujung minggu lalu.

Antara pelanggan yang datang membeli.

Lelaki berusia 52 itu bagaimanapun menjelaskan bahawa dia dan isterinya sebenarnya bekerja sepenuh masa sebagai pekerja di sebuah kantin pejabat di Damansara, Kuala Lumpur. “Kami kerja sebagai tukang masak di kantin dari Isnin hingga Jumaat. Sebab itulah kami buka gerai pada Sabtu dan Ahad bermula pukul 12 tengah hari, sejak minggu. Nasi bajet tu dijual pada harga RM2. Tapi kami juga memberikannya secara percuma kepada mereka yang susah dan terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Abang Ee (belakang, dua kiri) bersama keluarganya.

Lebih dikenali sebagai Abang Ee, dia yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, mereka membuka gerai tersebut dengan tujuan utama untuk bersedekah kepada masyarakat pelbagai bangsa dan agama. “Ia sebenarnya merupakan idea dan rancangan pakcik kepada isteri saya yang suka bersedekah. Kami membantu meneruskan hasratnya memandangkan kami boleh memasak. Sesiapa saja boleh datang ke gerai kami untuk membeli atau mengambilnya secara percuma berdasarkan kemampuan mereka. Macam pandu lalu. Kami berniaga bukan untuk mencari sesuap nasi, tapi nak memberi nasi kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya yang berpengalaman sebagai tukang masak lebih enam tahun.

Kami berniaga bukan untuk mencari sesuap nasi, tapi nak memberi nasi kepada mereka yang memerlukan

Sehubungan itu bapa kepada 12 anak itu menegaskan bahawa mereka tidak mengaut sebarang keuntungan kerana mahu membantu masyarakat yang terkesan dengan pandemik. “Sebenarnya kami tak ambil untung pun. Tapi hasil jualan dapat membantu menampung sedikit kos bagi bahan mentah untuk bekalan seterusnya. Kami dah beritahu pada pelanggan yang membeli untuk niat bersedekah sebab nasi tu juga untuk tujuan sedekah. Mereka membeli sambil bersedekah,” katanya sambil menambah operasi gerai turut dibantu sebahagian anak-anaknya.

Gerai nasi bajet beroperasi untuk tujuan membeli dan sedekah.

Menurut Abang Ee, sebanyak 100 bungkus nasi bajet sehari diperuntukkan pada hujung minggu lalu dan dia tidak menyangka sambutan amat menggalakkan. “Dalam tempoh kurang dua jam, habis 100 bungkus nasi. Dianggarkan 60 peratus mereka yang datang adalah mereka yang mengambilnya secara percuma. Syukur juga ada yang datang hanya bagi duit minta terus sedekah kepada orang ramai. Mungkin ada yang segan nak kibarkan bendera putih untuk minta bantuan. Kami berharap dengan gerai yang dibuka di tepi jalan ini membolehkan sesiapa saja tanpa mengira bangsa dan agama yang terkesan dengan pandemik untuk dibantu dengan lebih mudah. Ada satu pasangan suami isteri datang ke gerai, kata si suami dah hilang kerja sejak PKP tahun lalu. Dia datang ambil tiga bungkus termasuk untuk seorang anaknya, memang sedih bila ada yang ditimpa kesusahan dan kami bantu untuk mempermudahkannya,” katanya.

Sumber : Mstar

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.