Mula mula bukan main malu malu kucing. Sekali tak tunggu lama terus minta cucu ajar.

Viral

Halimah pada mulanya malu-malu mahu menerima skuter pemberian anaknya. “Awal-awal je jual mahal,” begitulah reaksi seorang ibu apabila menerima hadiah sebuah skuter elektrik daripada anaknya. Menerusi rakaman yang dimuat naik oleh anak perempuannya, warga emas itu dilihat sedang belajar cara untuk menggunakan kenderaan tersebut.

Video itu setakat ini meraih sebanyak 81,000 tontonan di aplikasi TikTok. Bercerita lebih lanjut, Shamsul Rizal Abd Rani, 28, berkata, dia membeli sebuah skuter buat ibunya, Halimah Bakar yang berusia 69 tahun bagi memudahkan dirinya untuk bergerak terutamanya ke kedai. Menurut Shamsul Rizal, sebelum ini ibunya yang tinggal di pondok Ar Rahmaniyah Jerantut, Pahang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pernah bercerita tentang kawan-kawannya yang mempunyai skuter elektrik.

“Masa nak survey skuter untuk anak, tiba-tiba teringat mak pernah sebut yang dia tengok ada kawannya pakai skuter. Katanya tak payah isi minyak, cuma cas je. Gaya dia cakap tu macam teringin, tapi segan nak cakap dengan saya. Mak sebelum PKP tinggal di pondok. Kalau nak keluar beli barang keperluan kena jalan kaki hampir 500 meter ke kedai paling dekat. Mak boleh je bawa motor tapi sekarang berat bagi dia yang sudah berumur. Saya beli secara online je, ambil masa hampir sebulan untuk sampai dan harganya mampu milik. Ada juga terfikir nak bagi dia sebuah motosikal, tapi mak dah serik sebab pernah terjatuh dulu,” katanya yang berasal dari Jitra, Kedah.

Mesra disapa Sham, idea tersebut turut dicadangkan oleh anak bongsunya, Muadz Noor Azlie, 12, setelah dia mendapat skuter idamannya. Selepas mendapat kebenaran daripada pihak polis untuk merentas negeri, Sham dan Muadz menghantar skuter serta ubat ibunya ke rumah adik bongsunya yang terletak di Jengka, Pahang.

“Waktu PKP ni adik bongsu ambil mak untuk duduk bersama dia, jadi saya balik sehari ke sana untuk hantar skuter dan ubat mak. Mula-mula mak terkejut juga, lepas tu cakap ‘kenapa la membazir’. Katanya dia dah biasa jalan kaki ramai-ramai dengan kawan pondok ke kedai. Tapi saya cakaplah, kalau ada benda yang boleh mudahkan kenapa tak nak? Awal-awal je jual mahal, tak lama lepas tu minta Muadz ajarkan dia naik skuter. Jalan dari pondok ke kedai tu lalu jalan taman yang tidak sesak. Sebab itu saya berani belikan skuter untuk mak. Lagipun kalau belikan motosikal nanti dia kena fikir nak isi minyak, macam susah pula,” katanya yang kini menetap bersama keluarganya di Alor Gajah, Melaka.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, sudah tiba masanya untuk dia memberi kesenangan kepada ibunya. Walaupun ibunya sering menjaga cucu-cucunya, namun tidak pernah sekali wanita itu meminta apa-apa sebagai balasan. “Saya merupakan founder koleksi pakaian Muslimah. Mak selalu support apa sahaja yang saya nak buat sejak dari kecil. Jadi bila dah usia macam ni tibalah masa untuk kita sebagai anak pula memberi dan bukan lagi menerima.

Kita bagi mereka duduk di pondok pun bukan kerana nak lepas tangan.

“Bila saya sibuk dengan urusan bisnes dan kadang-kadang terpaksa out-station, mak la yang selalu sudi membantu menjaga anak-anak. Sepanjang hayatnya, dia tak pernah sekali pun minta apa-apa dari kami semua,” ujarnya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, adik-beradiknya masih menjalankan tanggungjawab sebagai anak walaupun ibunya memilih untuk berada di pondok bagi mendalami ilmu agama. Mereka adik beradik bersetuju kerana hanya mahu melihat si ibu gembira dengan kawan-kawannya di sana.

“Walaupun ibu jauh dan pilih duduk di pondok bagi mempelajari ilmu agama bersama kawan-kawan, tak bermakna anak-anak boleh melepaskan kebajikan mereka kepada pihak pengurusan pondok. Kita bagi mereka duduk di pondok pun bukan kerana nak lepas tangan. Tetapi jika itu membuatkan mereka gembira, maka perlulah kita tunaikan kehendaknya. Cuma dalam masa yang sama tu tanggungjawab kita sebagai anak tidak boleh diabaikan,” katanya. Sumber : Mstar

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.