Baru je mengadu port telefon rosak. Sekali ramai terharu dengan reaksi Tokmek bila cucu belikan sesuatu.

Viral

Hasif puas melihat senyuman yang terukir di wajah neneknya saat dihadiahkan dengan telefon itu. Melihat senyuman nenek tersayang ternyata memberi kepuasan buat jejaka ini. Dalam satu video di TikTok, Tengku Muhammad Hasif Tengku Othman, 23, menghadiahkan sebuah telefon pintar baharu buat neneknya, Saudah Majid, 78, sehingga ia tular dan meraih lebih 25,000 tontonan.

Jejaka dari Wakaf Bharu, Kelantan itu mengakui sebak melihat reaksi neneknya yang kini sudah lanjut usia. “Video kejutan itu dirakam pada Rabu di kediaman saya. Tokmek (nenek) menetap di rumah saya sejak sebulan lepas kerana dia ada rawatan di klinik. Sebelum ni Tokmek ada mengadu, dia minta beli kabel pengecas telefon. Sebenarnya bukan kabel yang rosak, tapi port untuk masukkan kabel yang bermasalah. Kebetulan pada Rabu dia dah nak balik ke rumahnya di Besut (Terengganu), jadi saya terus bagi kejutan telefon baharu. Saya letakkan dalam kotak, ketika itu saya tolak Tokmek dengan kerusi roda. Pada masa sama, saya yang rakam video,” ujarnya.

Hasif merupakan penuntut bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik.

Mesra disapa Hasif, dia mengakui puas melihat senyuman yang terukir di wajah neneknya saat dihadiahkan dengan telefon bernilai sekitar RM500 itu. Jelas Hasif, neneknya sering menggunakan telefon untuk membuat panggilan video dengan anak cucu serta kerap menonton ceramah agama menerusi YouTube. “Tokmek suka video call dengan anak cucu. Kalau tak ada orang call, dia akan bosan. Biasanya Tokmek juga suka tonton video ceramah.

Ada juga yang kata wajah nenek mereka sama dengan wajah tokmek saya.

“Saya rasa sangat tenang dapat tengok Tokmek senyum, nampak dia bahagia dan ceria sebab dia jarang senyum. Bila dapat hadiah, dia nampak gembira. Saya juga ada kongsikan video itu kepada anak cucu Tokmek, mereka kata seronok tengok dia gembira. Tokmek sebenarnya ada sakit jantung dengan saraf. Tapi lepas dapatkan rawatan, dia makin baik. Dia boleh jalan dekat-dekat, tapi kalau jauh memang tak boleh,” ujarnya lagi.

Paparan skrin video tular itu.

Kata Hasif, dia tak sangka video itu tular sehingga dihujani pelbagai komen warganet. “Saya rasa terharu dan sebak baca komen warganet. Ada yang kongsi kisah mereka dah lama tak boleh rentas negeri dan tak jumpa nenek masing-masing. Ada juga yang kata wajah nenek mereka sama dengan wajah Tokmek saya. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang doakan Tokmek,” ujar anak kelima daripada lapan beradik itu.

Kata Hasif, telefon itu dibeli menggunakan wang simpanannya berniaga.

Mengenai dirinya, Hasif merupakan penuntut bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik di Insitut Kemahiran Mara (IKM) Lumut, Perak. Dedah Hasif, dia membeli telefon itu dengan menggunakan wang tabungan hasil berniaga coklat dalam balang yang diusahakan kakaknya sejak tahun 2014 lagi. Sumber : Mstar

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.