Wanita ini cool jawab soalan dari pengikut. Sabar jawab soalan pelik pelik tentang niqab.

Viral Wanita

Ana rajin menjawab soalan yang diajukan warganet menerusi aplikasi TikTok. Keputusan wanita ini untuk berniqab sekitar 10 tahun lalu banyak membawa perubahan dalam hidupnya. Selain menjalankan perniagaan pakaian muslimah, Ana Aufiah, 30, turut menjalankan dakwah dengan cara yang tersendiri, khususnya buat kaum hawa di negara ini.

Sejak tiga bulan lalu, dia yang mesra disapa Ana turut beralih ke platform TikTok dan banyak menjawab soalan-soalan serta menjernihkan tanggapan warganet berhubung pemakaian niqab. Ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui tak pernah berkecil hati, sebaliknya cuba sebaik mungkin untuk menjawab setiap persoalan yang diajukan.

“Ada yang kata niqab dipakai orang Arab untuk melindungi diri di padang pasir, untuk elak debu dan habuk. Pada saya pula, kenapa hanya pakai jika di padang pasir saja? Malaysia tak ada habuk ke? Di sini juga banyak debu, bau asap rokok, bulu kucing dan sebagainya. Masih boleh tersedut. Kita tidak kalis. Di situ orang salah faham. Kenapa nak bertelagah benda yang dah jelas? Ada juga yang persoalkan niqab hidden eyes. Tutup mata itu tak wajib. Saya pun tak pernah kata ia wajib. Yang saya kata, aurat wajib ditutup.

Ana sudah 10 tahun mengenakan niqab.

“Saya tak sangka dapat banyak komen dan soalan di luar jangkaan. Saya tak pernah terfikir mereka akan fikir hal itu. Saya tak marah orang tanya, kefahaman setiap orang juga berbeza. Jadi saya cuba jawab dengan mudah dan santai untuk bagi orang faham,” jelasnya. Menurut Ana yang menetap di Ipoh, Perak, dia menyertai TikTok untuk memperkenalkan perniagaannya, namun tak menyangka ia kini beralih menjadi platform dakwah secara maya.

Saya mula berniqab 10 tahun lepas. Permulaan nak niqab ni datang dari diri sendiri. Bukan nak pakai sebab tengok orang lain pakai.

Namun kata Ana, dia enggan menjawab soalan yang berada di luar bidang pengetahuannya, sebaliknya berkongsi pengalaman sendiri sahaja. “Awalnya tujuan daftar TikTok untuk berniaga. Kemudian dalam dua minggu, orang minta buat content untuk Muslimah yang nak berubah. Saya fikir balik, macam mana nak buat perkongsian? Kemudian saya mula balas setiap soalan dalam bentuk video. Hanya bercakap pengetahuan yang saya ada saja. Kalau melebihi pengetahuan, saya tak akan jawab,” ujarnya. Kata Ana, dia melihat TikTok sebagai satu platform bermanfaat dan ia wajar digunakan dalam menyampaikan sesuatu perkara yang baik kepada umum. “Sebenarnya kita berdakwah ikut peredaran masa. Dulu saya aktif kegiatan dakwah ketika di Politeknik. Kita aktif dengan dakwah jalanan, anjurkan kem dan sebagainya.

Ana bersama suaminya.

“Tapi masing-masing dah ada komitmen lebih besar, ada yang dah kahwin. Tapi mujur ada platform baharu seperti media sosial. Sebelum ini kami sampaikan di Facebook dan Instagram, sekarang di TikTok pula. Mudah-mudahan ramai yang dapat manfaat. Selain berniaga, kita boleh sampaikan benda baik untuk pengguna TikTok,” ujarnya lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Ana yang mula berniqab sekitar tahun 2010 mengakui penghijrahan itu hadir dengan sendiri dan tidak dipaksa sesiapa. Malah katanya, mana-mana wanita yang mempunyai hasrat sama tidak perlu gusar untuk berhijrah biarpun ada mulut-mulut yang akan berbicara mengenainya.

Ana menggunakan TikTok untuk membuat promosi perniagaan serta menyampaikan dakwah.

“Saya mula berniqab 10 tahun lepas. Permulaan nak niqab ni datang dari diri sendiri. Bukan nak pakai sebab tengok orang lain pakai juga. Pada waktu itu, tak ramai yang pakai niqab. Saya rasa saya perlu buat sesuatu untuk aurat diri kerana saya aktif sukan. Ketika saya bersilat atau main hoki, masih nampak aurat bila kita sepak-sepak dan tumbuk-tumbuk. Selepas berniqab, saya tinggalkan sukan seperti taekwondo, hoki, silat dan aktiviti kebudayaan seperti nyanyian dan tarian. Tapi aktiviti seperti meredah hutan dan mendaki bukit masih lagi diteruskan. Kena fikir satu benda. Benda ini dibuat atas diri, bukan orang lain. Kalau fikir kata-kata orang, kita tak akan ke depan. Kenapa perlu dengar apa orang nak cakap? Kita buat untuk diri sebab kat kubur kita akan bersendirian juga,” ujarnya lagi. Sumber : Mstar

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.