Tangkap layar video mengenai bisnes ibu saudara Yana yang semakin merosot. Sudah menjadi lumrah dalam perniagaan akan berdepan dengan untung rugi. Begitulah yang dialami seorang peniaga, Zubaidah, 55, yang mengusahakan bisnes makanan dengan lebih 20 jenis masakan lauk sejak awal Januar lalu di Bandar Baharu, Kedah. Diceritakan semula oleh anak saudaranya, Yana Ismail, 31, hasil jualan ibu saudara yang digelar Opah itu semakin merosot sejak bulan Ramadan kali ini,
“Opah dah mula berniaga sejak awal tahun. Dari dulu impian dia berhajat sangat nak buka kedai makan. Jadi opah pun buka kedai makan. Mula-mula buka kedai, sambutan memang sangat memberangsangkan. Setiap hari ada saja orang datang kedai nak makan sampai penuh. Lepas tu ada satu ujian datang. Opah jumpa duit syiling depan kedai. Tapi opah teruskan berniaga macam biasa sebab tak nak bersangka buruk,” katanya yang mesra disapa Yana yang merujuk kepada kemungkinan amalan shr.
Namun, menurut Yana yang menetap di Sepang, Selangori, jualan makanan di kedai Opah semakin merosot saban hari. Jelas wanita yang bekerja sendiri itu, bahan masakan yang digunakan oleh Opah menelan modal yang agak besar kerana kosnya tinggi. “Dari hari ke hari jualan semakin merosot. Hanya cukup-cukup untuk bayar gaji pekerja. Kadang-kadang modal pun tak dapat nak ‘pusing’ balik. Makanan yang Opah jual dimasak dengan resepi yang sempurna, jadi bahan-bahan nak beli memang mahal. Tapi opah teruskan juga sebab dia dari dulu nak berniaga,” ujarnya.
Lebih memilukan kata wanita itu, suami Opah baru saja pergi buat selamanya. Menurutnya, kesedihan jelas tergambar di wajah Opah walaupun dia kelihatan gembira dan tidak berputus asa untuk berniaga.
Suami Opah baru pergi buat selamanya. Dalam kesedihan Opah teruskan juga berniaga.
“Sejak bulan puasa, jualan semakin menurun. Sebagai anak sedara Opah, saya pasti turut terasa kesedihan yang opah lalui sebab dah sayang macam mak sendiri. Suami Opah baru pergi buat selamanya minggu lepas. Dalam kesedihan Opah teruskan juga berniaga dekat Bagan Samak. Tak sangka bila dia berniaga, nasib tak baik macam ni pula. Kasihan tengok Opah sampai tertidur dekat kaunter sebab tak ada orang langsung ke kedai walaupun dah pukul 6.30 petang, hampir waktu berbuka puasa,” luah Yana dengan nada sebak.
Susulan video mengenai opah menerusi aplikasi TikTok menjadi tular, Yana dihujani mesej yang mendoakan agar ibu saudaranya sentiasa dimurahkan rezeki. “Saya dapat video tu daripada saudara mara. Tersentuh hati tengok keadaan Opah dekat kaunter. Dia tak cakap apapun, cuma dari raut wajah dia bila bergambar dalam grup WhatsApp famili, kami dapat lihat kerisauan dan kesedihannya. Sebagai anak saudara dari jauh, saya turut terasa. Berbekalkan sedikit pengikut di TikTok, saya harap supaya ramai orang boleh nampak dan support perniagaan Opah. Inilah usaha saya untuk bantu perniagaan Opah. Saya tak sangka pula video tu akan viral. Saya anggap ini rezeki Opah atas berkat kesabaran dia berniaga,” ujar Yana. Sumber, Mstar