Baru baru ini tular video insiden pelakon Will Smith menampar pelawak Chris Rock di Oscar 2022 menjadi perbualan hangat seluruh dunia. Meskipun isu bintang Hollywood, Will Smith menampar muka pelawak Chris Rock di pentas Oscar 2022 sudah berlalu, namun kejadian memalukan itu masih menjadi perbualan hangat peminat. Chris ditampar Will ketika siaran secara langsung acara berprestij itu selepas mempersendakan imej isterinya, Jada Pinkett Smith yang tampil berimej berkepala botak. Semenjak itu, ramai mempersoalkan tindakan Will yang disifatkan sebagai gagal mengawal amarah dan tidak kurang ada menyalahkan Chris kerana bergurau tidak kena tempat.
Berikutan kejadian menampar di Oscar 2022 Will Smith menerima kesan yang sangat mendalam.
Pakar psikologi, Dr Chua Sook Ning menjelaskan apabila berada dalam keadaan marah, seseorang tidak dapat memahami dan menguruskan keadaan itu dengan efektif selain sering bertindak di luar kawalan. Dr Chua memberitahu, kemarahan seseorang juga boleh meluap-luap disebabkan beberapa keadaan termasuklah;
Emosi adalah isyarat normal untuk memberitahu apa bakal berlaku
Perasaan bimbang adalah indikasi bahaya akan muncul perkara luar jangka manakala kesedihan pula sebagai tanda kehilangan. Sementara itu perasaan marah pula adalah isyarat seseorang berasa dipermainkan, timbul rasa tidak puas hati sehingga membuatkan hilang pertimbangan bagi mempertahankan diri atau situasi di sekeliling mereka. Jika perasaan yang muncul itu dapat difahami, seseorang itu pasti boleh menguruskannya dan bertindak dengan lebih baik daripada semberono sehinggakan merugikan diri sendiri dan menimbulkan rasa penyesalan.
Pasti ada sebab seseorang itu marah!
Seseorang tidak akan berasa marah tanpa sebab dan biasanya ia berpunca daripada isu-isu yang penting atau mengguris perasaan. Sebagai contoh, perasaan marah boleh timbul apabila ada pihak luar yang menghina keluarga atau orang yang anda sayangi apatah lagi ia dilakukan di hadapan orang ramai tanpa sebab munasabah. Perasaan malu yang wujud disebabkan perkara itu boleh menyebabkan rasa marah yang meluap-luap.
Kawal diri
Untuk mengawal diri daripada dikuasai rasa marah, ia memerlukan latihan termasuk bersedia dengan kehadiran perkara luar jangka selain cara bertindak balas terhadap situasi itu. Apa sahaja perkara yang membuatkan seseorang itu berasa marah, ambil masa seketika untuk bertenang sebelum melakukan sebarang tindakan. Tarik nafas dalam-dalam dan fikirkan kesan tindakan yang akan dilakukan atau ia akan menghancurkan diri sendiri.
Terapkan nilai murni
Ia kedengaran membosankan tetapi ternyata dapat membantu untuk mengelakkan kita melakukan perkara sia-sia ketika emosi menguasai diri. Fikir bahawa tidak berbaloi korbankan nasib diri untuk perkara sia-sia dan merugikan.
Jangan abaikan emosi
Menyimpan sendiri semua masalah sendirian adalah lebih berbahaya. Jadi belajar untuk meluahkan rasa tidak baik dalam diri agar ia tidak terkumpul dan menjadi bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa. Kesannya lebih buruk dan pada ketika itu penyesalan bukan satu pilihan. Sumber, mstar