Yahya memakai kostum badut ketika mengajar anak-anak di kediamannya. Guru mengaji tak semestinya berpakaian serba putih, berjubah ataupun memakai kopiah. Yahya Edward Hendrawan memilih penampilan yang unik ketika mengajar al-Quran yang mana dia akan tampil menggayakan kostum badut. Pakaian barwarna-warni, solekan wajah dan hidung badut berbentuk bulat menjadi gaya rasmi lelaki itu setiap kali dia mengajar.
Lelaki yang tinggal di Pinang, Kota Tangerang, Indonesia itu telah telah mengajar sejak tahun 2002. Namun, idea untuk memakai kostum badut ketika mengajar hanya tercetus pada tahun 2010. Mengabdikan diri sebagai guru mengaji, Yahya juga memasang impian untuk memberantas isu buta baca al-Quran.
“Aku ingin sedikit demi sedikit memberantas buta (baca) al-Quran,” ujarnya. Yahya memakai kostum badut ketika mengajar anak-anak di kediamannya, melalui program yang dinamakan Taman Baca. Program Taman Baca diadakan bermula Isnin sehingga Khamis setiap minggu. Selain kelas di kediamannya, Yahya juga menjadi guru mengaji di Panti Asuhan Darussalam. Sumber, Kompas.
Dari Kerjaya Cikgu Muncul Idea Nak Jadi Youtuber, Sampaikan Sanggup Keliling Negeri Semata Untuk Rakam Content
Terlampau runsing akan apa yang akan diusahakan ketika pencen nanti membuatkan timnul satu idea buat guru ini. Dalam suasana mencabar akibat pandemik Covid-19 yang sudah berlarutan sejak dua tahun lalu, tugas seorang pendidik antara paling mencabar kerana tetap perlu menyampaikan ilmu kepada para pelajar. Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah menggantikan kaedah pengajaran konvensional dan sebagai guru mereka perlu menggunakan pelbagai cara menarik dan interaktif dalam menarik perhatian pelajar. Bagi seorang guru, Haini Hamlin selain PdPR, beliau mengambil langkah proaktif dengan menghasilkan video pengajaran tatabahasa menerusi saluran YouTube sebagai nilai tambah untuk para pelajar. Namun dedah Haini, cabaran terbesar menghasilkan video tersebut adalah bercakap di hadapan kamera yang dirasakan kekok dan janggal tetapi demi menyampaikan ilmu dia tetap meneruskan usaha itu.
Haini mula menghasilkan video di saluran YouTube sejak Januari 2021, Haini berkata, dengan cara itu ia sebenarnya memudahkan pelajar mengulang kaji, mengingati selain boleh membuka video tersebut pada bila-bila masa.”Seperti contoh dalam pengajaran tentang topik kata majmuk saya hasilkan dalam bentuk nyanyian agar pelajar mudah ingat dan menghafalnya.”Syukur pelajar-pelajar dapat terima cara itu dan sekali gus dapat menarik minat mereka untuk belajar dan mengulang kaji,” ujarnya. Menjelang usia enam dekad, Haini turut kerap memikirkan tentang pelan setelah pencen pada tahun hadapan.
“Tamatlah lembaran hidup saya sebagai seorang cikgu pada tahun 2023 namun saya runsing memikiran aktiviti serta pendapatan setelah berpencen nanti,” katanya. Terdapat statistik melaporkan bahawa kebanyakan duit simpanan para pesara bakal berkurangan dalam tempoh lima tahun pertama dan realiti tersebut menyedarkan Haini. Takut untuk jatuh muflis di saat beliau cuma mengharapkan duit pencen yang semestinya kurang daripada gaji bulanan sedangkan kos sara hidup sentiasa meningkat – dirinya pun tidak akan menjadi lebih muda dan bertenaga. Setelah berbincang dengan ahli keluarganya, beliau berazam untuk menyediakan pelan pendapatan tambahan yang pasif sewaktu pencen dan sekarang adalah masa terbaik untuk memulakannya.
Bagaimanapun Haini merancang untuk melakukan aktiviti yang tidak memerlukan masa yang banyak serta tidak menggunakan banyak tenaga fizikal dan penerbitan video di YouTube dilihat sebagai pelan terbaik selepas bersara.”Bayangkan jika saya cuma rakam 12 episod video selama enam hari padahal ditayangkan selama 12 minggu ataupun tiga bulan seterusnya secara konsisten? Buat sungguh-sungguh dan tunggu insentif daripada YouTube di kemudian hari.”Ia bukan sahaja pelan pendapatan tetapi pada masa sama saya dapat terus mencurahkan ilmu kepada para pelajar dengan pengetahuan yang ada dan ia mungkin boleh menjadi rujukan pelajar pada dalam tempoh yang panjang,” katanya. Beberapa video telah diterbitkan oleh Haini dan pada akhir tahun 2021, beliau telah mendapat khabar gembira bahawa usahanya telah mendapat lampu hijau.
Haini berharap ilmu yang dikongsi dapat memberi manfaat kepada pelajar.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersepakat untuk memperluaskan perjalanan kareer YouTube beliau melalui Dana Kandungan Digital PRISMA. Dengan adanya sokongan padu tersebut, Haini telah menerbitkan siri terbaharu iaitu “Cobaan” di mana beliau akan mencuba pelbagai aktiviti baharu di pelbagai tempat sekitar Kuching-Siburan, Sarawak. Cubaan yang dimaksudkan adalah bersilat Spring 12 di Pantai Damai yang panas hinggalah menjadi Pak Tambang di Kuching Waterfront. “Cobaan” masih lagi ditayangkan hampir setiap minggu di YouTubenya dan episod sebelum ini telah berjaya mendapat tempat di hati para penontonnya.
Dalam siri Cobaan, Haini turut membawa penonton menjelajah ke Sarawak.
Walaupun jumlah pelanggan serta tontonannya tidaklah besar, namun Haini percaya ada hasilnya untuk jangka masa panjang asalkan beliau kekal konsisten dalam penerbitan videonya.”Selain mengharapkan pendapatan pasif setelah pencen, saya ingin memberikan inspirasi kepada rakan sebaya saya yang kebanyakannya ahli penjawat awam yang senior serta yang sudah pencen untuk menjadikan saluran ‘Bersama Cikgu Haini’ di YouTube sebagai sumber pendapatan pasif. “Tambahan pula, saya percaya ramai di antara mereka yang mempunyai cerita, pengalaman mahupun bakat untuk dikongsi kepada semua. “Saya ingin lihat semua berjaya dan bahkan lebih bahagia setelah mereka pencen nanti. Saya pun masih menunggu keputusan jika saya dibenarkan untuk memberi makanan kepada buaya di episod akan datang”, katanya. Sumber: mstar.