Umum lagi kita ketahui anak kucing memang comel tetapi banyak perkara perlu diberikan perhatian ketika menjaganya. Membela anak kucing yang baharu sahaja dilahirkan bukan tugas mudah kerana ia lebih sensitif dan memerlukan penjagaan rapi. Atas sebab itu, ramai yang lebih suka membela kucing berusia tiga bulan ke atas kerana mudah diuruskan. Sebenarnya dalam waktu yang singkat, anak kucing akan menunjukkan pelbagai tahap perkembangan yang kompleks dan perlukan perhatian sekiranya berhasrat untuk membelanya. Tapi sebelum itu, apa kata ambil tahu 10 fakta mengenai anak kucing.
Berat hanya 100 gram
Kucing yang baharu sahaja dilahirkan hanya memiliki berat sekitar 90 gram hingga 100 gram. Bagaimanapun, berat badan anak kucing akan bertambah sekitar 10 gram dan 15 gram setiap hari. Tidak mampu mengawal suhu badan sendiri, sama seperti manusia, anak kucing juga tidak mampu mengawal suhu badannya sendiri dan bergantung kepada persekitaran untuk kekal hangat terutamanya dalam cuaca sejuk. Atas sebab itu, ibu kucing akan sentiasa berada dekat dengan anak-anaknya dan mereka akan menyorok di celah-celah badan ibunya. Sekiranya anak kucing tidak mempunyai ibu, sebagai pemilik penting untuk menyediakan tempat yang selesa bagi membolehkan ia sentiasa berasa hangat.
Lahir dalam keadaan buta
Pasti ramai tidak mengetahui bahawa kucing yang baharu dilahirkan adalah dalam keadaan buta. Ketika dilahirkan mata dan saluran telinga kucing juga berada dalam keadaan tertutup. Pun begitu, ia tetap bertindak balas dengan sentuhan dan perubahan suhu di sekelilingnya selain bergantung kepada ibunya. Minggu kedua dilahirkan baharulah matanya akan terbuka meskipun penglihatannya masih belum jelas. Saluran telinga juga mula terbuka dan mampu bertindak balas dengan stimulasi bunyi dan suara.
Susu pertama
Kucing yang baharu sahaja dilahirkan sangat memerlukan susu pertama yang dihasilkan ibunya. Susu yang dipanggil kolostrum itu sangat penting kerana mengandungi nutrisi lengkap dan membantu meningkatkan antibodinya. Kucing hanya boleh menyerap kolostrum pada 16 jam hingga 24 jam pertama hidupnya. jika ibunya tidak dapat menyusu, penting untuk pemilik mencari susu pengganti yang dibuat khas untuk anak kucing.
Menghabiskan masa dengan tidur
Kucing yang baharu lahir biasanya akan tidur sekitar 22 jam yang bersamaan dengan 90 peratus daripada waktunya setiap hari. Pun begitu, tempoh itu akan berkurangan apabila ia semakin membesar dan kucing yang berusia enam bulan ke atas boleh menghabiskan masa sekitar 16 jam hingga 20 jam sehari hanya untuk tidur. Belum mampu buang air kecil dan besar sendiri, tahukah anda, anak kucing tidak boleh membuang air besar dan kecil secara normal dan si ibu akan menjilat kemaluannya untuk merangsang proses tersebut. Jika ia tidak mempunyai ibu, pemilik boleh menggunakan kapas atau tisu lembap dan mengusap bahagian kemaluan untuk merangsang proses itu.
Gigi tumbuh pada usia tiga minggu
Anak kucing akan mula tumbuh gigi pertama sekitar usia tiga minggu. Gigi pertama yang tumbuh adalah gigi kacip namun selepas dua bulan, gigi susu itu akan tercabut sebelum gigi kekal tumbuh. Pada tahap ini, kucing biasanya akan berasa tidak selesa pada bahagian mulutnya dan disebabkan itu ia akan menggigit sesuatu untuk menghilangkan rasa tidak selesa.
Masalah cacing
Masalah cacing kerap berlaku pada anak kucing yang dipindahkan oleh ibunya sewaktu dalam kandungan atau menerusi air susu badan. Penting untuk memberikan ubat cacing kepadanya apabila usianya mencecah dua minggu. Jangkitan kutu, selain masalah cacing, anak kucing juga lebih terdedah kepada jangkitan kutu. Ia kedengaran tidak merbahaya tetapi jika dibiarkan boleh menyebabkan anemia dan boleh membawa maut. Memandangkan tiada ubat sesuai untuk anak kucing berusia kurang daripada lapan minggu, pemilik boleh memandikannya dengan syampu khas untuk mengurangkan masalah tersebut.
Kepentingan vaksin
Antibodi si bulus yang diserap menerusi susu (kolostrum) hanya bertahan sekitar enam minggu dan selepas itu, kucing mudah terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit. Atas sebab itu, pemilik dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin seawal usianya mencecah enam ke lapan minggu. mstar