Tahulah anda ada beberapa sebab mengapa kucing berdengkur. Seperti manusia, kucing juga akan berdengkur ketika tidur dan ia bukan perkara pelik. Selain itu ia dianggap petanda ia dalam keadaan selesa dan emosinya tidak terganggu. Sebahagiannya adalah benar tetapi harus juga faham bahawa kucing berdengkur bukan hanya disebabkan perkara-perkara positif sahaja. Sebagai pemilik si bulus, perlu memahami maksud di sebalik kucing berdengkur yang boleh disebabkan pelbagai faktor. Meskipun belum ada yang tahu penyebab kucing berdengkur, tetapi kajian mendapati si bulus akan berdengkur ketika ia tidur dengan nyenyak tanpa sebarang gangguan.
Biasanya kucing berdengkur kerana mereka dalam keadaan tenang dan gembira.
Ada pula yang berdengkur disebabkan ia sedang lapar, sakit atau ketakutan. Paling mengejutkan, ketika si bulus berdengkur ia mampu merangsang pertumbuhan semula tulang. Ketika berdengkur, kucing akan mengeluarkan bunyi berdengung dengan mengawal pengaliran udara ketika ia bernafas, menggunakan otot dalam anak tekak dan diafragma mereka. Ada fakta lebih menarik, kucing mula berdengkur selepas beberapa hari ia dilahirkan. Berikut adalah beberapa sebab lain mengapa kucing berdengkur.
Kucing sedang bahagia dan gembira
Jika anda melihat si bulus sedang terbaring santai dengan mata setengah tertutup sebelum tertidur dan berdengkur, ia disebabkan kucing berada dalam keadaan tenang dan selesa dengan keadaan sekelilingnya. Kelaparan, kucing akan berdengkur ketika ia sedang lapar namun dengkuran itu akan kedengaran berbeza kerana ia menggabungkan suaranya yang membuatkan bunyi dihasilkan lebih halus dan seolah-olah ia sedang mengigau.
Signal dituju kepada ibu kucing
Kucing sudah mula berdengkur beberapa hari selepas ia dilahirkan dan bunyi dihasilkan adalah indikasi kepada ibu kucing bawa anak-anaknya berada dalam keadaan baik. Dengkuran itu juga dapat mengeratkan hubungan antara ibu dan anak kerana bunyi dikeluarkan turut membuatkan si ibu lebih tenang dan mudah untuk tidur. Menenangkan diri, kebanyakan kucing akan berdengkur ketika ia mengalami luka atau berada dalam kesakitan. Ia adalah cara untuknya menenangkan dirinya sendiri sama seperti kanak-kanak yang menghisap ibu jari atau menangis.
Proses penyembuhan
Para penyelidik haiwan comel itu percaya berdengkur membantu kucing untuk sihat dengan lebih cepat sekiranya ia sakit. Dengkuran dengan frekuensi rendah akan menyebabkan getaran di dalam tubuh yang mampu menyembuhkan luka, menguatkan tulang, membangun dan memperbaiki tendon, melancarkan pernafasan selain mengurangkan rasa sakit dan bengkak. Ini juga menjelaskan mengapa kucing mampu bertahan ketika jatuh dari tempat tinggi. Sumber, mstar