Umum lagi kita ketahui kata laluan yang digunakan mestilah berbeza untuk setiap akaun. Mencipta kata laluan untuk pelbagai platform berbeza seperti media sosial, perbankan dan aplikasi pembelian secara dalam talian memang merenyahkan. Atas sebab itu juga ramai daripada kita menggunakan kata laluan yang sama bagi semua platform kerana ia lebih mudah diingati.
Sebenarnya tindakan itu boleh mendatangkan bahaya apatah lagi dalam dunia serba canggih, ia memudahkan kerja penggodam untuk menggodam akaun anda. Justeru kita dinasihatkan mencipta kata laluan berbeza untuk setiap akaun agar ia tidak mudah diceroboh penggodam selain menimbulkan masalah lain.
Ramai yang malas cipta kata laluan yang kompleks kerana sukar mengingat.
Kajian yang dilakukan ExpressVPN malangnya mendapati, ramai orang yang tidak mengendahkan perkara itu dan tetap menggunakan kata laluan yang mudah. Dalam tinjauan yang dilakukan, purata golongan dewasa di Amerika Syarikat menggunakan kata laluan yang sama selain ramai yang mencipta kata laluan menggunakan nama pertama atau nama keluarga. Lebih 43 peratus koresponden kajian juga bersetuju bahawa orang terdekat mungkin dapat meneka kata laluan yang digunakan manakala 81 peratus pula yakin dengan keselamatan dan privasi. Tetapi tahukah anda, apakah kata laluan yang paling popular di seluruh dunia. Kajian sama dilakukan ExpressVPN bersempena dengan World Password Day pada 5 Mei lalu mendapati, ‘123456’ adalah paling banyak digunakan disebabkan ia mudah ditaip dan diingati.
Kata laluan ‘123456’ adalah paling banyak digunakan.
Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan tetapi menurut kajian sama, kata laluan paling banyak digunakan di Malaysia dan Indonesia pula adalah ‘sayang’. Bukan sahaja orang Malaysia dan Indonesia yang bersikap romantik, kata laluan ‘iloveyou’ pula cukup popular di Amerika Syarikat. Apa lebih pelik, perkataan ‘password’ adalah antara kata laluan popular dalam kalangan mereka yang menggunakan bahasa Inggeris.
Manakala ‘passwort’ iaitu bahasa Jerman bagi perkataan password pula paling popular di negara itu. Pelik, tetapi benar! Disebabkan kelemahan ramai mencipta kata laluan yang berpotensi diceroboh penggodam, ExpressVPN menyarankan agar pengguna mencipta kata laluan lebih panjang dengan campuran perkataan, nombor, simbol dan unik untuk setiap akaun. Sumber, mstar