Rupanya ini sebab orang berumur mudah sensitif, Ini yang golongan muda perlu sedia

Tahukah anda ada sebab mengapa orang tua lebih mudah marah dan bersikap sensitif. Menjaga ibu bapa yang sudah berusia bukan tugas mudah kerana mereka sangat sensitif dan mudah melenting apabila ada sesuatu yang dirasakan tidak kena di mata mereka. Atas sebab itu, kesabaran yang tinggi diperlukan untuk menjaga ibu bapa terutama yang sudah tua agar sebarang kata-kata atau tindakan tidak mengguris perasaan mereka. Sebenarnya warga emas bukan sengaja bersikap demikian sebaliknya ia terjadi disebabkan tekanan sosial yang terkumpul kerana ketidakmampuan mereka untuk berdikari.

Pada usia yang sudah lanjut, mereka tidak berdaya untuk menguruskan diri apatah lagi mempunyai pendapatan sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Apatah lagi terpaksa tinggal serumah dengan anak dan menantu, rakan sebaya yang sudah meninggal dunia serta penyakit dihidapi menambahkan tekanan.

Perubahan mood memang mudah berlaku dalam kalangan orang berusia.

Pandemik sepanjang dua tahun lalu juga turut menambah tekanan, apatah lagi kes kematian dalam golongan berusia tinggi ketika itu. Stimulasi luaran yang serba negatif ini membebankan fikiran golongan ini sehingga menyebabkan mereka lebih sensitif dalam pelbagai perkara.

Persiapkan diri sejak muda

Semua yang dimiliki ketika usia muda boleh hilang begitu sahaja apabila sudah tua tetapi seseorang boleh membuat persiapan agar kesihatan mental tetap berada dalam keadaan baik pada masa hadapan. Kajian turut membuktikan bahawa, aspek kerohanian juga memainkan peranan dalam memastikan kesihatan mental golongan warga emas tetap baik dan mampu bertahan dengan tekanan yang datang.

Pakar psikologi, Dr Eva Sabdono menjelaskan, ketika usia seseorang bertambah, sebaik-baiknya mula wujudkan kesedaran bahawa sesuatu itu tidak akan bertahan buat selama-lamanya. Sebagai contoh kata Dr Eva, ketika masih muda dan sihat, seseorang boleh makan atau lakukan apa sahaja tanpa sebarang masalah tetapi perkara itu tidak boleh dilakukan apabila usia sudah lanjut. “Kita yang masih muda kena sentiasa tanam dalam fikiran bahawa apabila usia sudah meningkat banyak perkara terpaksa kita korbankan. “Apabila seseorang tidak sanggup berbuat demikian dan tetap berada dalam ‘denial’, itu menyebabkan mereka mudah sensitif dan cepat marah apabila ada keinginan mereka tidak dapat dicapai,” katanya. Sumber, mstar

Exit mobile version