Genap 49 tahun P Ramlee meninggalkan dunia, Karya seniman agung ini tetap tak lapuk dek zaman

Umum lagi kita ketahui dengan seniman negara yang banyak berbakti ini. Semalam 29 Mei pada tahun 1973 Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee meninggal dunia secara mengejut ketika berusia 45 tahun. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya Allahyarham Puan Sri Saloma di Hospital Besar Kuala Lumpur kira-kira jam 5.30 pagi. Ribuan masyarakat daripada pelbagai lapisan menziarah jenazah beliau sehingga ke Tanah Perkuburan Jalan Ampang. Malah pemimpin negara tidak ketinggalan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih melakar kegemilangan bukan sahaja sebagai pelakon, malah, penyanyi, pengarah, komposer, penulis skrip, lirik dan pelawak. Menerusi klip video program khas Hari Ini Dalam Sejarah yang disiarkan di RTM bagi memperingati peninggalan P Ramlee, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein menyifatkan pemergian P Ramlee satu kehilangan Tokoh Seni yang ulung dan sukar dicari ganti.

P Ramlee yang menceburkan diri dalam lapangan perfileman hampir suku abad lamanya telah banyak melahirkan bintang-bintang dalam dunia perfileman. Sejarah perjuangannya adalah sejarah perjuangan filem Melayu sendiri. Kini genap 49 tahun seniman agung itu meninggalkan dunia malah nama dan karya seninya tetap dikenang zaman berzaman. Sepanjang hayatnya, beliau telah berlakon dalam 66 filem, 35 daripadanya ialah arahannya, mengarang 250 lagu dan menyanyikan hampir 30 daripadanya. Antara filem-filem terkenal P. Ramlee sebagai pelakon ialah Chinta (1948), Abu Hassan Penchuri (1955), Anak-ku Sazali (1956), Antara Dua Darjat (1960) dan Masam-Masam Manis (1965).

Sebagai pengarah, antara filem-filem arahan beliau ialah Penarek Becha (1955), Panca Delima (1957), siri filem Bujang Lapok (1957–1961), Tiga Abdul (1964) dan Jangan Tinggal Daku (1971). Laksamana Do Re Mi (1972) menandakan penampilan layar lebar terakhirnya dalam hayatnya. Kemudian dalam kerjayanya, Ramlee berlakon dalam drama Intan (1970) dan Rantau Selamat (1972). Sebagai penyanyi, antara lagu-lagunya yang terkenal ialah “Azizah”, “Getaran Jiwa”, “Aci Aci Buka Pintu”, “Di Mana Kan Ku Cari Ganti”, “Jeritan Batinku” dan “Air Mata di Kuala Lumpur” adalah antara beberapa lagu terakhir yang dirakamkannya sebelum meninggal dunia. Sumber, harian metro

Exit mobile version