Umum lagi kita ketahui dengan penyanyi terkenal ini. Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43, belum terfikir untuk menyediakan khidmat pengawal peribadi atau ‘bodyguard’ untuk dua anaknya, Siti Aafiyah Khalid, 4, dan Muhammad Afwa Khalid, 1. Siti berkata, buat masa ini belum ada sebarang keputusan. Namun, semua itu bergantung sepenuhnya kepada persetujuan dan keputusan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa. “Setakat ini, belum lagilah (menyediakan pengawal peribadi untuk anak-anak).
Saya serahkan semuanya kepada suami. “Saya pun tak ada menggunakan ‘bodyguard’ setiap masa, cuma dalam acara tertentu saja untuk menjaga keselamatan ketika mengadakan persembahan. Kalau biasa-biasa itu, tak ada,” katanya ketika ditemui di sidang media sempena persembahan istimewa, Queen Of The Night di Menara Berkembar Petronas, KLCC, Jalan Ampang, di sini. Berbicara juga mengenai persembahan itu, Siti berkata, dia teruja untuk menghiburkan kira-kira 450 orang peminatnya dalam kalangan Keluarga Malaysia, B40 yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal dan anak yatim.
Katanya “Saya bersyukur semua jualan meja dibuat untuk persembahan ini sudah dibeli Yayasan Metamorphosis untuk mereka kongsikan dengan golongan B40 terpilih yang mungkin sudah lama teringin menyaksikan persembahan saya. “Saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik untuk menghiburkan mereka yang menjadi penonton istimewa saya pada malam itu nanti. Saya akan menyanyikan sebanyak 15 buah lagu yang berkisar kepada wanita dan inspirasi dalam tempoh 90 minit persembahan,” katanya.
Persembahan Queen Of The Night Siti Nurhaliza itu akan berlangsung pada 6 Ogos ini di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, di sini, jam 7 malam yang dibawakan penganjur projek, Be De Paris. Sementara itu, dalam sidang media sama, Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Mohamad Zain berkata, dia sudah lama memikirkan untuk membawa Siti menjayakan projek istimewa itu bagi menghiburkan golongan B40.
Katanya, Siti adalah penghibur terkenal dan nombor satu negara. Jadi, sudah semestinya ramai dalam kalangan rakyat di negara ini teringin dan mempunyai impian untuk menyaksikan persembahan beliau, tetapi ada yang kurang berkemampuan. “Justeru, sebagai memastikan ‘dream come true’ buat golongan berpendapatan rendah B40, maka kami dari Yayasan Metamorphosis sentiasa mencari peluang dengan jalinan kerjasama menarik dan istimewa bersama Siti ini,” katanya. Sumber, harian metro