Cinta Subuh tarik ramai penonton dari Malaysia, Rupanya sebuah filem yang menjunjung perihal agama

Tahukah anda filem Cinta Subuh merupakan Sebuah karya yang membawa penonton mendekati agama dan paling utama, terjemahan karakter pelakon terlibat memang membikin audiens merinding Itu antara apa yang boleh disorot usai menonton filem Indonesia berjudul Cinta Subuh arahan sutradara tersohor negara seberang tersebut, Indra Gunawan. Biarpun bukanlah peminat naskhah genre yang menjunjung perihal agama dan kasih sayang antara manusia, namun Cinta Subuh ternyata mempunyai magis tersendiri membuat penonton di Malaysia tidak kisah turun ke panggung.

Naratifnya mudah iaitu seorang lelaki yang masih menuntut di universiti dan tidak cakna tentang kepentingan solat, Angga lakonan Rey Mbayang jatuh cinta dengan seorang wanita serba-serbi lengkap, termasuk pegangan agamanya bernama Ratih (Dinda Hauw). Syarat untuk Ratih menerima cinta Angga adalah dia perlu belajar menunaikan solat Subuh dan jika gagal, walaupun hatinya sakit, dia terpaksa memilih agama berbanding cinta. Pada masa sama, Ratih juga berada dalam dilema apabila seorang lelaki yang memenuhi pakej (peribadi dan agamanya) Arya Satria Negara, (Roger Danuarta) turut menyimpan perasaan terhadapnya.

Permainan karakter hebat

Dari segi permainan dan terjemahan karakter pelakon terlibat, terutamanya Rey sebagai Angga, Dinda (Ratih) dan Roger (Arya) memang sangat berbekas dan boleh disifatkan sebagai cemerlang. Misalnya, watak Ratih entah berapa banyak ‘botol air mata’ sudah mengalir dari matanya. Memang laras papan atas jenis lakonan yang selayak disorot sebagai pelakon air mata berkaliber. Pertuturan, bahasa tubuh dan kebijaksanaan yang dipaparkan menerusi karakter tersebut juga memberi impak buat mana-mana penonton. Filem Cinta Subuh dan karakter Dinda secara keseluruhan cuba berpesan kepada audiens bahawa dalam hidup, jangan sesekali dahulukan manusia melebihi Tuhan. Pencipta menurunkan ujian buat hamba-Nya agar sentiasa beringat bahawa hanya Dia tempat kita bergantung, waima rasa hati yang kadangkala sukar dibendung dan berbolak-balik.

Lakon layar, sinematografi

Karakter Angga barangkali membuatkan ramai lelaki beragama Islam di luar sana, termasuk penulis sendiri berasa malu dengan diri sendiri. Kita kadang-kadang terlalu mengejar duniawi sampaikan solat Subuh sering dipandang enteng. Sudahlah meninggalkan perkara penting sebagai umat Islam, namun pada masa sama, masih terlalu ‘memaksa’ mahukan itu dan ini dalam kehidupan. Sama juga dengan keinginan menemukan jodoh yang sempurna sedang ibadat tunggang-langgang. Percayalah, Tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dari segi teknikal seperti lakon layar, sinematografi dan efek bunyi, Cinta Subuh tidak langsung menghampakan.

Cinta Subuh bermula sedikit membosankan, namun bergerak ke atas dengan cemerlang dan mudah mendakap erat perhatian penonton. Banyak pengajaran positif yang melekat dalam jiwa usai menonton Cinta Subuh termasuklah kalau kita perbaiki solat, maka Allah akan perbaiki kehidupan kita. Jika anda seorang wanita dan bawa teman lelaki tonton bersama filem ini, 100 peratus peluang lelaki itu akan mula muhasabah diri. Sebab apa? Filem ini memberi tamparan kepada semua orang terutama golongan lelaki. Kalau solat subuh pun susah nak buat. Macam mana kahwin nanti mahu menjaga rumah tangga dan hal penting seperti itu. Jadi ketua keluarga bukan satu tugas mudah. Tahniah untuk produksi Cinta Subuh. Sumber, kosmo online

Exit mobile version