Filem Abang Long Fadil 3 mendapat sokongan padu kaki wayang apabila meraih kutipan sebanyak RM10 juta dalam tempoh lima hari sejak ditayangkan bermula Khamis lalu. Pengarahnya, Syafiq Yusof atau nama penuh, Mohd. Syafiq Mohd Yusof, menzahirkan rasa syukur atas penerimaan ramai yang meninggalkan pelbagai komen positif dalam laman maya dan hebahan mulut ke mulut.
Katanya “Saya sangat berbesar hati apabila dimaklumkan ada yang menonton lebih sekali selain turun ke panggung beramai-ramai dengan kawan dan ahli keluarga. “Sokongan semua pihak terhadap Abang Long Fadil 3 terutama ketika banyak dugaan ditempuhi pembikin filem ketika melalui fasa pandemik sangat saya hargai. “Ternyata kos sebanyak RM6 juta dengan menambah ramai pelakon hebat bagi memantapkan lagi francais ketiga ini cukup berbaloi. “Saya harap ramai lagi akan hadir menyaksikan filem yang sarat aksi serta padat elemen komedi. Anda pasti berpuas hati,” katanya kepada Kosmo! Online.
Naskhah terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw tersebut berkisar gelagat Fadil lakonan Zizan Razak sebagai ejen perisik Perkhidmatan Rahsia Negara (NSS) yang cuba menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han (Johan). Dalam misinya, Fadil yang diburu King Cobra (Datuk AC Mizal) bekerjasama dengan ejen jelita, Alice (Elizabeth Tan), namun mereka berhadapan pula masalah sebaik bekas kekasih Fadil (Tania Hudson) muncul. Pada masa sama, Syafiq mengakui debarannya baru memandangkan pihaknya perlu meraih sekurang-kurangnya tiga kali jumlah kos pembikinan supaya pulang modal.
Ulasnya lagi “Pastinya peningkatan catatan kutipan harian ini menunjukkan tanda positif, namun sudah tentu kita harapkan jumlah ini terus naik. Sekurang-kurangnya dapat balik modal,” katanya. Selain Zizan, Johan, AC Mizal, Elizabeth dan Tania, filem tersebut turut menampilkan Maya Karin, Shuib Sepahtu, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman, Hairul Azreen dan Siraj Alsagoff. Sebelum ini, filem Abang Long Fadil 3 dilaporkan mencatat kutipan mencecah RM1.2 juta dalam sesi ‘sneak preview’, pada Rabu lalu. Abang Long Fadil 3 adalah idea asal Syafiq yang menghasilkan Abang Long Fadil 1 dan Abang Long Fadil 2. Sekuel kedua francais ini mencatat sejarah sebagai filem tempatan pertama meraih kutipan pecah panggung lebih RM18 juta ketika ditayangkan pada 2017.Sumber, KOSMO! ONLINE