Penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) tidak menolak jika dipertemukan jodoh sekali lagi dengan jejaka lain selepas kehilangan suaminya Allahyarham Ashraf Sinclair yang pergi buat selamanya akibat sakit jntvng dua tahun lalu. Pun begitu, menurut Bunga bakal suaminya itu nanti harus menerima hakikat Ashraf akan tetap selamanya berada di hati.
“Sebenarnya bersedia atau tidak (kembali berumahtangga), saya juga masih belum jelas dengan perasaan sendiri. Stabil, tetapi masih sukar melupakan semua memori lalu. Justeru, jejaka yang ingin mendekati dan mahu memperisterikan saya perlu sedar dan menerima bahawa Ashraf sentiasa berada dalam hati saya selama-lamanya. Jika dia sedar hal itu, baru boleh ke fasa seterusnya,” katanya kepada Astro Gempak ketika melancarkan konsertnya Blossom Bunga Citra Lestari pada minggu lalu.
Konsert Blossom- Bunga Citra Lestari yang dibawakan oleh Icon Entertainment akan berlangsung pada 27 Januari 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula pukul 8.30 malam. Pun begitu, pelantun lagu Wanita Terbahagia itu akui dia sama sekali tidak pernah terdesak untuk mencari teman hidup dan menegaskan Ashraf tiada gantinya.
“Saya juga tidak paksa diri untuk bertemu seseorang, tetapi enggan juga menolak (berjumpa orang lain). Kita tidak tahu apa yang Allah SWT sudah takdirkan dalam hidup ini. Jalani sahaja mengikut apa yang Dia aturkan. Mencari seseorang pada usia dan status sekarang sangat berbeza berbanding zaman bujang. Banyak fasa dan perkara yang perlu dipertimbangkan. Jika bertemu dengan individu yang memenuhi syarat, saya serahkan semuanya kepada Tuhan,” katanya lagi.
BCL mendirikan rumah tangga dengan Ashraf Daniel Mohamed Sinclair pada 8 November 2008 dan dikurniakan anak, Noah, 12. Jodoh mereka tidak panjang apabila Ashraf meninggal dunia secara mengejut pada 18 Februari 2020 di kediaman pasangan itu di Jakarta, Indonesia. Sumber, Gempak