Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengesahkan bertanding atas tiket calon Bebas kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Azwan bakal berdepan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini dilaporkan sedia mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada PRU-15.
Pengacara popular itu juga bakal menentang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH). Azwan, 56, berkata, beliau akan hadir ke Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, esok.
“Iya, anda akan menerima jawapannya, esok, iaitu pada hari penamaan calon. Saya akan berada di SMK Sungai Pusu. Jadi, orang ramai boleh ikut lintas langsung yang saya buat melalui TikTok dan Instagram (IG) untuk mendapatkan jawapan,” katanya. “Parlimen Gombak disandang Azmin, iaitu bekas Timbalan Presiden PKR yang tinggalkan PKR pada Februari 2020 bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR, sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh,” katanya,
Ditanya perasaan melalui hari penamaan calon, esok, Azwan yang mencipta populariti ketika bersama TV3 pada era 1980-an, mengaku gementar. “Saya gementar kerana kali terakhir saya nampak kelibat Azmin adalah pada PRU-14. Selepas sekian lama, esok pastinya saya akan sekali lagi bertembung dengan Azmin. Inilah masa dinanti-nantikan ribuan rakyat dan penyokong. Ramai yang mahu melihat momen ini,” katanya.
Azwan berkata, keputusan untuk bertanding pada PRU-15 dibuat berikutan sokongan tanpa henti daripada banyak pihak. “Kali pertama saya bertanding adalah untuk kerusi DUN Bukit Antarabangsa pada PRU-14. Ketika itu, saya hanya terima 90 undi. Maknanya, saya kalah teruk dan sudah tentu kerusi itu dimenangi Azmin. Tetapi, ketika itu, Azmin mewakili PKR. Sekarang, dia bersama parti baharu. Apa-apa pun, pertmbungan Azmin bersama Diva AA memang dinanti-nantikan. Jadi, saya mahu ucapkan terima kasih kepada setiap sokongan yang saya terima. Saya hargai sokongan tanpa henti daripada orang ramai untuk saya menentang Azmin, terutamanya akhir-akhir ini,” katanya.
Azwan berkata, andai tidak bernasib baik pada pada PRU-15, beliau tidak kecil hati kerana mendapat sokongan ramai termasuk daripada Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dan Ketua Cabang PKR Gombak.
“Bukan soal menang atau kalah. Walaupun saya kalah pada PRU15, ia tidak menjadi beban, kehidupan saya tetap akan diteruskan. Saya juga terima sokongan padu daripada seorang lagi calon yang begitu besar pengaruhnya, iaitu Menteri Besar Selangor. Beliau baharu saja menelefon saya sejam yang lalu untuk memberi sokongan kepada saya. Saya terharu dengan sokongan beliau. Sudah tentu saya menyokong calon PH ini. Saya tak tahu mengenai calon-calon ini bukan kerana benci, sebaliknya, fokus saya adalah dua nama besar ini iaitu Azmin dan Amiruddin. Jadi, saya dan Amiruddin cukup berkobar-kobar dan tak sabar hendak bertemu, esok,”katanya.
Sementara itu, Azwan menasihatkan Azmin supaya tidak lupa akan asal usulnya. “Hayatilah lirik lagu arwh Datuk Sharifah Aini, Terbang Helang. Lagu itu saya tujukan buat Azmin. Dia boleh menang dan dia boleh terus terbang tinggi dengan labu-labunya, tapi ingat, suatu hari dia akan jatuh. Saya sebak sebab teringat arw.h emak yang membesarkan kami. Saya tahu ramai yang tertanya-tanya mengenai punca keretakan hubungan kami, tapi tak mengapa teruslah berjuang. Untuk Azmin, ingatlah asal usul kita,” katanya.
Pada PRU-14, Azwan hilang wang pertaruhan apabila sekadar beroleh 90 undi manakala Azmin meraih majoriti 25,512 undi bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa. Sumber, Hmetro Online