Pelakon Datuk Eizlan Yusof mendedahkan dia dahulu berasal dari keluarga B40 yang turut pernah merasai keperitan hidup. Mengimbau kehidupannya sewaktu kecil beliau juga melalui waktu-waktu sukar yang sehingga kini tak dapat dilupakan.
“Saya berasal dari keluarga B40, jadi saya faham keperitan hidup dan saya boleh duduk bersembang dengan mereka yang mempunyai taraf hidup itu ketika ini. Rumah saya dahulu berbumbungkan atap zink bocor ketika hujan. Selain itu saya hanya mempunyai sepasang seluar sekolah dari tingkatan satu hingga lima. Banyak kisah hidup saya yang ramai tidak tahu. Pun begitu saya bersyukur sebab Allah buka banyak pintu rezeki sehinggalah ke hari ini,” katanya.
Eizlan Yusof kini menjadi calon Parlimen di Sabak Bernam
Beliau melihat peluang itu satu rahmat dan menguatkan lagi semangatnya untuk berjuang dan membantu, selain memberi ruang dan peluang kepada mereka yg memerlukan.
Calon nombor satu P.092 Sabak Bernam itu berkata, ketika dilantik sebagai Pengerusi Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri tahun lalu, beliau pernah diberitahu Dr. Ahmad Idham bahawa beliau paling layak memegang portfolio itu.
“Ahmad Idham beritahu saya paling layak sebab jiwa saya ‘tisu’, jadi saya memang ada masalah apabila berdepan dengan orang yang ada kesukaran. Sekiranya diberi mandat di Parlimen Sabak Bernam, saya memberi jaminan untuk menyelesaikan beberapa isu,” katanya.
Antaranya, kelemahan isyarat jalur lebar (Internet) dan talian telefon, naikkan sektor eko-pelancongan, pertanian dan peluang kerjaya golongan belia. Justeru, penubuhan Jawatan Kuasa Komuniti di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Sabak Bernam perlu ditubuhkan bagi mengumpul isu-isu baru dan lama, buat kertas kerja dan bawa ke peringkat atasan.
Eizlan komited untuk meneruskan khidmat dan baktinya di Parlimen Sabak Bernam dan menjadi kumpulan pendesak sekiranya gagal memenangi kerusi P092 itu. “Saya adalah orang yang suka bekerja dan bukan hanya bercakap kosong semata-mata. Jika kalah sekali pun, saya akan terus mendesak wakil rakyat supaya menyelesaikan apa sepatutnya selaras dengan tanda pagar #jomkitabuatkerja,” katanya. Sumber, Gempak