Genap mencecah usia 50 tahun 9 Mac lalu, nampaknya Rozita Che Wan menyambutnya dengan melangkah masuk ke kediaman baharu yang dimilikinya! Akhirnya kediaman milik selebriti ini yang bernilai hampir RM10 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya siap sepenuhnya! Penantian selama empat tahun menghuni rumah jenis banglo mewah itu akhirnya termakbul selepas menghadapi beberapa masalah termasuk kontraktor pembinaan menghilangkan diri selepas Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta melabur jutaan ringgit akhirnya ternoktah. “Tak dapat saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini. Tambah pula dapat masuk rumah baharu. Bukan sekecil anak jumlah saya laburkan untuk rumah ini.
“Kena tipu dengan beberapa kontraktor pembinaan lagi. Kemudian kita diuji dengan pandemik COVID-19, jadi proses pengubahsuaian rumah itu pun tertangguh. “Tapi kini, saya bersyukur semuanya berakhir. Nak pula, Ramadan dan Syawal bakal disambut umat Islam tak lama lagi. Dapat masuk rumah baharu ini, kira hadiah paling terindah buat saya,” katanya. Menurut sumber, banglo mewah Che Ta mengambil tema klasik Inggeris sebagai dekorasi utama kediaman keluarga tersebut. Malah elemen tersebut digarap sempurna bagi sebuah kediaman yang selesa dan sempurna buat selebriti yang sememangnya mementingkan kesempurnaan dalam setiap perkara yang dilakukannya.
Rumah banglo berkenaan tidak hanya didiami Che Ta bersama suami, Zain Saidin dan tiga anaknya. Malah seperti dilaporkan sebelum ini, pelakon drama Kiah Pekasam itu turut dipuji ramai kerana memuliakan orang tua apabila mengajak ibu dan ibu mentuanya tinggal bersama. “Zain sendiri terkejut dan tak sangka saya nekad mengajak ibunya tinggal bersama. Tak ketinggalan teman rapat saya pun ada yang berperasaan sama. Lagipun mak mentua saya tinggal seorang diri selepas cucunya yang juga anak Sasha Saidin berpindah ke luar negara. Jadi saya fikir tak salah ajaknya duduk sekali di rumah baharu.
“Keadaan kesihatannya kebelakangan ini pun tak bagus selepas menjalani operasi. Setidak-tidaknya ada yang melihat dan membantunya apabila tinggal sekali,” katanya. Pengasas bersama empayar perniagaan Inai Che Ta itu berkata Zain pada awal bimbang ibunya menjadi beban. “Saya tak pernah berfikir begitu terhadap sesiapapun yang berada di bawah tanggungan ini. Saya percaya kadang-kadang Allah beri rezeki kita melalui orang lain. Dia pun tak cerewet dan mudah diurus. Di usianya 76 tahun, dia makan apa saja yang dihidangkan. Orang tua makan banyak mana sangat pun. Malah dia enggan menyusahkan saya termasuk pembantu rumah.
“Selama ini, masa tinggal dengan cucunya (anak Sasha Saidin), dia memang sangat kuat dan kental. Dialah yang memandu kereta menghantar cucu ke sekolah, kelas taekwondo dan membeli barangan harian. Tapi sejak kesihatannya terganggu
selepas terjatuh dan pinggulnya retak hingga terpaksa jalani operasi, dia seakan lemah,” katanya. Che Ta juga mengakui ibunya terbuka dan menyambut baik usaha mengajak ibu mentua tinggal bersama. Cuma lucunya, apabila ibu dan ibu mentua bersembang masing-masing macam ayam dan itik. Seorang cakap Melayu, seorang lagi berbahasa Inggeris. Saya pun terhibur melihat gelagat mereka,” katanya.
Mengenai kejutan hadiah hari lahir mengerjakan umrah tajaan teman niaganya, Anas Zahrin, Che Ta belum dapat memberikan kata putus bila nak ke Tanah Suci Makkah. Awalnya, saya bercadang nak menunaikan umrah sewaktu sambutan ulang tahun kelahiran tahun ini. Tapi tak menjadi kenyataan atas beberapa sebab. Mungkin masa terbaik kalau diizinkan, saya nak ajak suami bersama ke sana pada 10 terakhir Ramadan. Harap niat itu dipermudahkan,” katanya yang turut terbabit mengacarakan program masakan, Rasa tak lama lagi.
Sumber, TTK. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.