DIBERI tanggungjawab menyanyikan lagu runut bunyi filem Anwar: The Untold Story, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu ia bukan tugas sukar kerana lagu berkenaan sangat dekat dengan dirinya. Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 44, berkata, lagu berjudul Menjaga Cintamu mempunyai kekuatan tersendiri termasuk mesej yang ingin disampaikan membuatkan dia tertarik untuk merakamkannya. Bagi menambah rasa terhadap lagu berkenaan, Siti berkata, dia banyak menggambarkan perjalanan hidup isteri perdana menteri iaitu Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi subjek utama filem tersebut.
“Saya terima tawaran menyanyikan lagu ini sebab yakin dengan kekuatannya serta tertarik dengan mesej yang ingin disampaikan. “Saya juga memahami melodi serta lirik lagu ini menceritakan tentang kesetiaan dan pengorbanan seorang wanita,” katanya. Menjaga Cintamu adalah ciptaan komposer terkenal Indonesia iaitu Andi Rianto. Bercakap tentang kerjasama dengan Andi, Siti memberitahu peluang diberikan cukup bermakna kerana sudah cukup lama menyimpan hasrat menyanyikan lagu ciptaannya. Siti bagaimanapun memberitahu ketika proses rakaman dia berasa gementar memandangkan dalam proses pemulihan akibat jangkitan Covid-19 sebelum ini.
“Ia satu pengalaman baru dan saya akui gementar kerana pertama kali bekerja dengan Andi dan menyampaikan lagu ciptaan komposer hebat sepertinya. Saya juga berdepan dengan cabaran merakamkan lagu ini sebab suara saya masih dalam proses pemulihan akibat kesan jangka panjang virus Covid-19. Saya sudah berusaha sebaiknya untuk menyampaikan dengan baik,” ujar. Bagaimanapun di sebalik kesukaran itu, Siti berjaya menghabiskan sesi rakaman dalam tempoh satu jam sahaja.
“Saya merakamkan lagu ini selama sejam dan Andi juga terkejut kerana biasanya proses rakaman selama dua jam atau lebih namun, lagu Menjaga Cintamu memang senang masuk ke dalam hati,” ceritanya. Filem Anwar: The Untold Story yang mengangkat kisah ranjau politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mula ditayangkan pada Mei nanti. Karya yang membabitkan kos sebanyak RM10 juta ini menampilkan barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Farid Kamil, Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Piet Pagau dan Dewi Irawan.