Akui Siti Sarah tiada ganti, Shuib Sepahtu umumkan bakal bernikah dengan Watie pada bulan jun

Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu mengumumkan bakal menikahi kekasih hatinya yang juga seorang usahawan, Watie Hanifah pada Jun depan. Memetik Berita Harian, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 38, berkata beberapa persiapan menuju hari bahagia sudahpun dilakukan. Bagaimanapun, dia memilih untuk bersederhana pada hari pernikahannya kelak. “Insya-Allah, majlis akan berlangsung selepas raya iaitu pada Jun depan. Nanti saya akan beritahu tarikhnya.

Persiapan dari segi dewan sudah dilakukan. Saya akan menjalankan majlis pernikahan dan persandingan. Tetapi, dari segi busana belum lagi. Saya tak mahu majlis pernikahan terlalu meriah, tak mahu juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga. Ini adalah perkahwinan pertama Watie, jadi sudah tentu keluarga mahu majlis meriah meraikan kami. Saya harap dapat buat majlis sederhana dan bermakna, jadi semua akan gembira. Dalam masa sama, Shuib menjelaskan pihak keluarga serta anak-anaknya cukup teruja untuk menyambut kehadiran Watie sebagai ahli baharu dalam keluarga mereka.

“Bakal isteri sangat gembira. Dengan apa yang dilalui, perjalanannya bagaimana. Dalam masa yang sama, berat juga untuk Watie berada di situ, tetapi saya berharap semoga Allah mempermudahkan. Anak-anak selesa dengan Watie. Alhamdulillah, keluarga pun selesa. Saya rasa itu salah satu anugerah. Mungkin sebelum ini ada isu yang tak beberapa sedap dengar. Tetapi sekarang apabila Allah sudah memudahkan proses itu, mungkin benda ini sangat baik. Saya harap ia akan berjalan dengan cukup baik. Saya pula sudah tentu berdebar, tetapi bila saya tengok anak-anak, saya rasakan perlukan seseorang untuk ada bersama saya.

Mengakui Allahyarham Siti Sarah Raissuddin tetap tiada galang gantinya, ayah kepada empat cahaya mata itu berkata, dengan adanya Watie, mampu menjadi sistem sokongan yang baik buat dirinya. “Kita tahu kebolehan dan kemampuan saya, jadi bila ada orang sudi bersama saya, ia satu pemberian Allah. Saya tak tahu masa hadapan macam mana, tetapi sudah tentu saya mahukan yang baik-baik. Jadi, saya berharap semuanya dipermudahkan Allah.Saya perlukan sistem sokongan yang baik kerana saya tak tahu bagaimana untuk berseorangan dan sendirian.

Arwah Siti Sarah tidak akan boleh diganti. Tetapi, hampir 20 peratus sisi Watie sama seperti arwah. Saya hargai bagaimana Watie menjaga anak-anak saya. Itu yang mahal. Saya nampak Watie boleh jadi ibu yang baik, insya-Allah. Saya nampak usaha yang Watie berikan kepada ibu saya, mentua dan anak-anak saya. Terdahulu, Shuib enggan mengakui mempunyai hubungan dengan Watie, namun akhirnya dia mendedahkan sedang mengenali hati ushawasan tersebut. Malah Shuib pernah menjelaskan, percintaannya dengan Watie mendapat restu ibunya, Salamiah Jalani.

Untuk info, Shuib dan Siti Sarah telah mendirikan rumah tangga pada pada Februari 2011 dan pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzakira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan. Allahyarham Siti Sarah yang juga penyanyi disahkan pergi menghadap illahi akibat jangkitan Covid-19 pada Ogos 2021. Sumber: Berita Harian. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version