PERNAH melalui fasa perpisahan, pelakon dan model Alicia Amin kini tidak lagi terburu-buru untuk kembali mencari pasangan hidup atau berkahwin semula. Kata Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin, 28, buat masa ini dia mahu memberikan tumpuan terhadap karier dan tidak terfikir untuk mencari pengganti. Ini kerana dia belajar daripada pengalaman lepas berpisah dengan Dr Farzan Iqbal kerana terlalu memberikan fokus untuk diri sendiri terutama kerjaya. “Antara masalah dalam hubungan kami sebelum ini adalah kerana saya mahu fokus kepada diri sendiri. Memang rasa bersalah ketika itu disebabkan sudah ada pasangan namun masih sibuk bekerja.
“Sekarang ini biarlah saya kejar untuk diri sendiri dahulu. Kalau saya dah dapat apa yang dimahukan dari sudut kerjaya dan kewangan, baru fikir mencari pasangan. Saya mahu gembirakan diri sendiri dahulu,” katanya. Alicia ditemui ketika majlis sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bercerita mengenai hubungannya dengan bekas suami, kata pelakon filem The Disapperaance of Irdina Adhwa ini, mereka masih lagi berbaik sebagai sahabat meskipun sudah berpisah sejak Mac lalu selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Dia juga enggan menetapkan sebarang sasaran untuk membuka hati kembali menerima cinta kerana percaya manusia akan sentiasa berubah. “Dalam perkahwinan sebelum ini saya fikirkan itulah sasaran saya, namun hubungan tak panjang. Jadi untuk masa depan saya tidak letak target umur untuk berkahwin. “Kita semakin dewasa dan manusia boleh berubah. Biarlah ia terjadi secara semula jadi. “Saya dan bekas suami masih berhubung jika perlu. Kami bagaikan sahabat. Kami berpisah secara baik dan tiada drama,” ujarnya.
Bagi edisi ABPBH35, Alicia tercalin sebagai Top 20 dalam dua kategori iaitu Aktres Filem Wanita Popular dan Pasangan Filem Popular. Bersyukur atas pencalonan tersebut, dia bagaimanapun tidak pernah merasakan dirinya cukup popular dan layak untuk bertanding bagi anugerah yang melibatkan pemilihan peminat begini. “Saya memang tak rasa diri ini popular. Tetapi dengan pencalonan ini seperti dihargai dan orang mahu melihat lakonan saya.
“Berhubung dengan peminat pun saya jarang, jadi untuk berkempen saya tidak pasti lagi. Mungkin sukar untuk saya bersaing dengan pelakon lain yang selalu berkomunikasi bersama peminat,” jelasnya. Malam kemuncak ABPBH35 akan berlangsung pada 21 Julai ini dengan bertemakan Ekspresi Legasi Seni akan disiarkan secara langsung di TV3. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.