Pernah terfikir tak nak teruskan karier sebagai penyanyi, rupanya Anuar Zain pernah jadi pramugara masa hilang 10 tahun dalam bidang seni

MEMULAKAN kerjaya nyanyian seawal usia 13 tahun, penyanyi Anuar Zain mendedahkan dia ada sebab tersendiri tinggalkan bidang seni selama 10 tahun dengan memilih meneruskan karier sebagai pramugara pada era 1990-an. Anuar atau Shahrul Anuar Zain, 53, berkata, tanggapan pelbagai pihak tentang perjalanan karier penyanyi lelaki ketika itu yang tidak dapat bertahan lama membuatkan dia berfikir dua kali dan memilih karier lebih stabil. “Masa saya kecil macam-macam perkara yang perlu saya lakukan sebagai penyanyi dan ada di antaranya membuatkan saya kurang selesa.

“Atas sebab itu juga saya pernah terfikir untuk tidak mahu meneruskan karier sebagai penyanyi… apatah lagi mendengar cakap-cakap tentang penyanyi lelaki sukar bertahan lama. “Disebabkan itu saya lupakan cinta terhadap bidang nyanyian buat sementara dan beri tumpuan kepada kerjaya sebagai pramugara selama 10 tahun,” katanya. Selepas menghilangkan diri selama 10 tahun, Anuar kembali dengan album solo bersama syarikat rakaman Warner Music pada tahun 1998 berjudul Anuar. Single pertama daripada album berkenaan berjudul Bila Resah berjaya melonjakkan kembali nama Anuar sehingga menjadikan dia salah seorang penyanyi lelaki disegani.

Dalam pada itu, Anuar memberitahu dia tidak pernah menyangka karier muziknya bertahan sehingga ke hari ini dan menganggap tugas di awan biru banyak mengajar dia tentang pelbagai aspek profesional dan peribadi. Anuar turut menyifatkan 10 tahun bergelar pramugara adalah latihan memupuk kesabaran dalam diri bagi berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan sebagai anak seni. “Banyak cabaran saya lalui sepanjang bergelar pramugara. Rupa-rupanya Allah nak beri saya latihan menjadi seorang penyabar dan cekal sebelum kembali sebagai penyanyi.

“Mujurlah saya seorang penyabar dan sentiasa mahu berikan perkhidmatan terbaik untuk penumpang. Banyak kenangan manis dilalui sepanjang menjadi pramugara. “Malah saya sendiri tak sangka akan mengadakan konsert solo bersempena 40 tahun penglibatan sebagai anak seni. Semuanya yang berlaku adalah ketentuan Allah,” jelasnya. Anuar bakal tampil dengan konsert Ulang Tahun 40 Anuar Zain (AZ40) bagi meraikan pembabitannya dalam dunia seni. Teruja menantikan tarikh 28 Oktober 2023, Anuar menganggap konsert solo tersebut sebagai satu penghargaan buat peminat yang tidak jemu menyokong kariernya.

“Perancangan konsert ini dibuat sejak tahun lalu selepas mendapat banyak permintaan peminat. Persembahan istimewa ini adalah tanda penghargaan buat peminat yang menjadi tulang belakang karier saya,” jelasnya. Konsert AZ40 dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam dan tiket akan mula dijual di www.jiotix.asia bermula 12 Julai ini. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version