DUA dekad bergelar anak seni, pelakon Lisdawati mendedahkan dia pernah diuji tanpa sebarang tawaran lakonan selama empat tahun. Lisdawati atau Nisdawati Nazaruddin, 45, berkata, ujian tersebut datang selepas dia membuat keputusan menutup aurat sepenuhnya namun tetap istiqamah walaupun tiada sebarang tawaran daripada pihak produksi. “Kalau ada selebriti kata bila memakai tudung kurang mendapat tawaran berlakon, saya menerima nasib sama tapi saya tak pernah patah semangat sebab sedar itu adalah ujian Allah.
“Empat tahun Allah uji, macam-macam saya usaha sampai banyak air mata tumpah. Itu pengalaman yang berat buat saya. Masa itu saya betul-betul diuji. Saya tertanya-tanya sebab saya pakai tudung ke? Saya terfikir-fikir,” katanya. Dalam pada itu, Lisdawati berkata, ujian itu langsung tidak membuatkan dia terfikir berpatah balik kepada dirinya yang lama sebaliknya semakin mendekatkan diri kepada Allah. Katanya, dia juga lebih menjaga ibadah walaupun sibuk di lokasi penggambaran dan meletakkan agama keutamaan dalam setiap apa dilakukan.”Saya pernah berdoa kalau jalan saya untuk berlakon, tolong kembalikan tawaran kepada saya dan saya akan menjaga (ibadah) mengikut tuntutan agama.
“Sebab itu saya mula pakai sarung tangan dan kaki malah cukup menjaga waktu solat,” jelasnya. Sementara itu, Lisdawati berkata, ujian tersebut bukan sahaja memberi kesan kepadanya tetapi suaminya yang juga aktor Fauzi Nawawi. Katanya, ketika itu mereka memang terdesak sehingga terpaksa menggadai barangan berharga selain kereta ditarik pihak bank. “Bergolok gadai dengan pihak bank, surat merah sampai dan kereta kena tarik… Itu semua saya dan suami dah rasa. “Sebab itu bila datangnya pandemik Covid-19 kami boleh tersenyum sebab kami pernah diuji lebih perit,” luahnya.
Ibu kepada empat orang cahaya mata ini juga memberitahu dia tidak pernah berniat untuk mengundurkan diri daripada bidang seni walaupun setelah bergelar Hajjah. Jelasnya, lakonan adalah minat dan sumbernya mencari rezeki dan bersyukur apabila kehidupannya sudah kembali pulih. “Berlakon adalah periuk nasi saya cuma saya akan letak beberapa syarat sebelum bersetuju bagi mengelakkan sebarang masalah. “Saya pernah cuba berniaga… sampai menangis. Saya kagum dengan orang berniaga, tapi itu bukan minat saya. Saya dah cuba tapi tetap tak boleh,” luahnya.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.