MATA berwarna kebiruan semestinya menjadi idaman semua,tetapi ia kebiasaannya dimiliki oleh mereka berketurunan Eropah atau kulit putih sahaja. Bagi penduduk Nusantara, mata mereka kebanyakannya berwarna kehitaman atau kecoklatan. Namun begitu, siapa sangka, melalui satu video tular di TikTok, seorang kanak-kanak Kelantan dilihat mempunyai anugerah istimewa apabila matanya berwarna biru! Bercerita kepada mStar, bapa kepada kanak-kanak bertuah itu, Amran Jusoh, 43, berkata anaknya yang berumur sembilan tahun tersebut mula mengalami perubahan warna mata yang drastik sejurus selepas kelahiran.
“Waktu kali pertama tengok anak saya, Muhammad Amzar Syakir, saya perasan mata dia sedikit kekelabuan. Dalam dua minggu selepas tu, mula muncul warna biru cair dalam mata Amzar, lama-kelamaan semakin jelas. Kami mula-mula macam risau jugalah sebab apa jadi begini. Takut ada apa-apa kan,” kata Amran. Menurut Amran yang merupakan penyelia asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan, dia ada membawa Amzar berjumpa doktor pakar pada usia anaknya tiga tahun.
“Kami bawa Amzar jumpa doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian iaitu hospital sama Amzar dilahirkan. Doktor kata mungkin ada kaitan dengan faktor genetik dalam keturunan. Doktor cakap kebarangkalian untuk perkara ni berlaku adalah satu dalam sejuta, sangat jarang. Saya dan isteri macam pelik jugalah, seingat kami, ibu bapa dan datuk nenek tak ada pula mata yang berwarna biru. Kami rasa mungkin bermula dari generasi yang sebelum tu lagi, ada kacukan dengan Siam ke, sekarang baru muncul semula dekat anak saya,” kata Amran cuba meneka.
Amran bagaimanapun bersyukur kerana walaupun anaknya mempunyai mata yang unik, keadaan kesihatannya tidak terjejas dan Amzar dapat membesar seperti kanak-kanak biasa.”Amzar boleh melihat seperti normal, dalam gelap ke atau bawah panas terik matahari, dia boleh lihat tanpa ada kabur-kabur atau silau ke apa, penglihatannya jelas. “Dia juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolahnya, hari tu Amzar ada wakil sekolah untuk sukan kriket dalam Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Bharu, dan bulan lepas dia masuk merentas desa, siap dapat johan lagi.
“Jadi saya nampak Amzar tak menghadapi apa-apa masalah. Rakan Amzar di sekolah pun melayannya dengan baik dan tak ada yang membli atau sebagainya. Keyakinan diri Amzar juga tak ada terkesan dengan keadaan matanya yang biru. “Oleh sebab tu, saya dan isteri tak ada rancang dalam masa terdekat ni untuk bawa Amzar pergi buat rawatan susulan atau berubat alternatif,” kata Amran. Tambah Amran lagi, anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Gafar, Kota Bharu itu juga sering menjadi tumpuan ramai.
“Kalau pergi mana-mana pun, antara lima adik-beradik dia, Amzar la yang orang akan kerap tegur, mereka tanya kenapa mata begitu. Ye la kan, orang Melayu tulen boleh mata warna biru, jarang kita nak jumpa. “Amzar ni anak ketiga saya, walaupun dia okay je setakat ni, kadang timbul juga kerisauan tentang matanya yang biru. Hari tu saya ada terbaca satu artikel cakap kalau mata biru, itu petanda tulang reput. “Tapi memandangkan saya tengok Amzar pun aktif je bersukan dan buat aktiviti lasak, saya rasa itu mitos semata.
“Lagi satu saya perasan tentang anak saya ni, apabila dia masuk dari tempat cerah ke tempat gelap atau sebaliknya, perubahan pupil matanya nampak ketara, mungkin sebab warna biru yang kontra di iris tepinya,” kata Amran menutup bicara. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.