Keluarkan komen yang pedas di FD3, Ajai akui tak kecil hati kalau ada peserta buat video sindiran

PENYANYI dan komposer Ajai berkata dia tidak terasa hati sekiranya ada peserta Famili Duo musim ketiga (FD3) yang meluahkan rasa kurang senang dengan kritikannya semasa menjurikan program berkenaan. Ini termasuklah laporan sebuah portal yang mendakwa Ryan dan Adam Bakery memuat naik video sindiran di media sosial. Kata Ajai atau Mohd Faizal Mas, 48, dia hanya menjalankan tugas sebaik-baiknya dan tidak ambil pusing dengan kata-kata warganet mengenai cara penjuriannya itu. “Saya tidak ambil hatilah.

“Pada saya, saya berkomunikasi (memberi komen) dengan peserta. Apa sahaja reaksi peminat dia dan peminat saya itu adalah perkara individu masing-masing. Saya tidak meletakkan kelemahan mendengar kritikan warganet membuatkan saya lemah semangat untuk beri komen tentang perkara yang benar,” katanya. Ajai berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Exists Borneo Tour yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada Ahad lalu, Ajai kurang berpuas hati dengan persembahan Ryan dan Adam yang menyanyikan lagu Kau Tigakan Cintaku nyanyian asal penyanyi Indonesia iaitu Elkasih. Menurut Ajai, nyanyian adik-beradik itu kurang enak didengar sehingga menganggu pendengaran telinganya. “Awak (Ryan dan Adam) matkan diri awak sendiri apabila menyanyikan lagu ini. Tidak ada ke yang beritahu awak tak sedap menyanyi lagu ini? “Tak sedap langsung… pemilihan lagu yang salah dan ton suara tak sedap. Jadi apa yang awak berdua menyanyi semuanya tidak sedap,” ujarnya.

Mengulas lanjut berkenaan komen pedas yang diberikannya itu, Ajai memberitahu penjelasannya itu tidak ditulis dengan lengkap oleh laporan portal berita di media sosial. Kata Ajai, Ryan dan Adam hanya tersilap memilih lagu yang tidak sesuai membuatkan persembahan mereka teruk pada minggu kedua. “Penjelasan saya tidak ditulis dengan lengkap, saya cakap… tidak ada orang beritahu ke lagu untuk minggu ini tak sedap kamu nyanyi? “Kalau mereka (Ryan dan Adam) ada masalah dalam nyanyian daripada minggu pertama saya sudah tegur. Jadi maksudnya saya meminta mereka untuk cantikkan diri, jangan nampakkan keburukan pada vokal,” jelasnya.

Selain fokus kepada vokal, Ajai berkata program FD3 juga mengambil kira kreativiti peserta mempersembahkan nyanyian yang sedap didengar. “Saya pun beritahu mereka bukannya penyanyi, sebaliknya content creator. Bila ditegur seperti itu, ia bukanlah profesion sebenar mereka, jadi mereka tidak perlu down. Famili Duo ini bukan 100 peratus pertandingan vokal… tetapi penonton dan juri nak dengar nyanyian yang sedaplah. “Saya tidak kata secara keseluruhan apa yang mereka nyanyi tidak sedap. Kalau mereka menyanyi lagu yang tepat… tidak akan timbul masalah seperti ini (nyanyian tidak sedap),” katanya.

Terdahulu, Ryan atau Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, memuat naik content pendek berjudul ‘mental kena kuat’ di Instagram miliknya. Menerusi perkongsian video berkenaan, Ryan menegur Adam yang kelihatan muram kerana membaca komen-komen yang diberikan warganet. Ryan pada awalnya kelihatan tenang bagaimanapun menangis selepas membaca komen berkenaan. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version