NEGARA Arab terus digesa agar menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan dengan Israel dalam mempertahankan nasib rakyat Palestin. Namun panggilan kemanusiaan itu sepertinya tidak diendah ekoran faktor geopolitik serantau. Baru-baru ini kecoh apabila seorang rakyat Malaysia mendakwa dia ditahan di Madinah oleh pihak berkuasa tempatan kerana disalah anggapp menunjukkan tanda solidariti untuk Palestin. Melalui satu hantaran di Facebook, seorang lelaki yang dikenali sebagai Huda Izaham mengepilkan sekeping gambar menunjukkan dia sedang berada di perkarangan Masjid Nabawi.
Dalam gambar tersebut, Huda dilihat menaikkan jari telunjuknya ke langit yang membawa maksud Allah yang satu. “Saya dan dua sahabat ditahan pihak berkuasa kerana gambar ini. Hampir 30 hingga 45 minit disoal siasat. Visa kami diperiksa secara teliti. “Kami turut dibawa berjalan oleh pihak polis sejauh 500 meter untuk melihat sama ada kami akan melarikan diri atau tidak. Kami disalah erti sebagai pejuang Palestin kerana gambar tersebut, walhal saya mengangkat jari telunjuk itu untuk menggambarkan Allah yang satu,” ujar Huda menjelaskan situasi.
Huda walau bagaimanapun berjaya dibebaskan semula dengan bantuan rakannya yang fasih berbahasa Arab. “Alhamdulillah kami berjaya dilepaskan, mujur ada sahabat Abu Muadz yang boleh berbahasa Arab datang membantu. Jadi peringatan untuk semua, Arab Saudi adalah sebuah negara yang pro-Amerika Syarikat,” kata Huda. Huda difahamkan berada di Arab Saudi untuk menunaikan ibadah umrah pada awal November lalu. “Alhamdulillah, selesai umrah pertama saya sepanjang 39 tahun hidup di muka bumi Allah. Sesungguhnya berat rasa hati ini untuk tinggalkan kota Makkah al-Mukarramah.
“Semoga Allah panjangkan umur dan memberi kemudahan untuk saya membawa anak dan isteri pula ke sini. Semoga keluarga dan para sahabat saya juga diberi kemudahan untuk sampai ke sini suatu hari nanti,” tulis Huda dalam satu hantaran lain. Menjengah ke ruangan komen, warga maya menasihatkan Huda untuk mengikut tatacara di tempat orang. “Sudah jelas disebut yang di Tanah Suci tidak dibenarkan untuk kita memakai pakaian, mafla atau simbol yang melambangkan apa-apa perjuangan. Kita di tempat orang, ikutlah adat di sana.
“Mungkin itu satu prosedur saja untuk pihak berkuasa di sana, jangan diprovokasi melebih-lebih. Makkah dan Madinah ni tempat beribadah, cukuplah kita mendoakan untuk rakyat Palestin. Mustajab di sana. “Arab Saudi adalah tuan rumah untuk Tanah Suci umat Islam, tak akan nak minta mereka ikut selera kita pula,” kata sebahagian warga maya. Sebelum ini, seorang warga Malaysia yang bekerja di Arab Saudi turut ditahan oleh pihak berkuasa negara itu kerana kelantangannya membuat kritikan secara terbuka. Individu terbabit dalam ciapannya menyifatkan Arab Saudi seperti dunia akhir zaman yang mana gejala pelcrn dan penjualan arak berleluasa.
Sementara itu, juga tular di platform media sosial pada Selasa adalah seorang imam terkenal dari Istanbul, Turkiye iaitu Mustafa Efe yang ditahan di Makkah kerana menggunakan perkataan ‘Gaza’ dan ‘Palestin’. Efe menerusi satu video pendek yang dimuat naik di media sosial menceritakan situasinya di Makkah dan menjelaskan sebab penahanannya. Selama 12 jam ditahan, Efe yang digari kakinya kemudian dibenarkan untuk meneruskan ibadah umrah.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.