PEMILIK sebuah restoran di Pantai Cenang, Pulau Langkawi tampil membuat permohonan maaf berikutan isu dibangkitkan pelanggannya sehingga tular. Sebagaimana dikongsikan pelanggan itu sebelum ini, kedai makan itu mengenakan caj RM5 bagi air kosong yang dipesan sewaktu berkunjung ke sana pada 21 Disember lalu. Menurut pemilik, kesilapan tersebut berlaku disebabkan kecuaian pekerjanya memasukkan kod sewaktu pengiraan bil makanan dibuat.
“Di sini pihak restoran ingin memohon maaf kepada pelanggan sebab staf kami telah membuat silap masuk bil atas kecuaian. Saya memohon kalau siapa-siapa yang kenal pemilik resit, boleh hubungi kami untuk tuntut balik duit lebih caj tu. Pekerja kami tersilap masukkan kod nombor 1111 bagi minuman Nescafe dan terlupa untuk tukar harga asal sepatutnya iaitu CA07 bagi air kosong,” jelasnya. Jelasnya lagi, kejadian tersebut berlaku pada waktu pagi ketika hidangan sarapan disediakan kepada pelanggan.
Katanya lagi, hidangan sarapan pagi merupakan menu baharu yang dimasukkan dua minggu lalu setelah beroperasi sejak 2015. “Banyak pekerja baru. Kami minta maaf kalau ada terbuat salah. Sistem masih baru untuk staf baharu. Tu yang boleh jadi tersalah masukkan kod. Sekali lagi kami meminta maaf kepada orang ramai atas kecuaian kami dan perkara ini tidak akan berulang lagi. Caj untuk air kosong adalah RM1 tak pernah tukar,” ujarnya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila restoran itu mengenakan caj bagi air kosong pada harga tidak masuk akal. Kecewa dengan apa berlaku, gambar resit makanan dan minuman dipesan oleh pelanggan itu menjadi tular di X dan Facebook. Warganet berkata kadar penginapan dan harga makanan di sekitar Langkawi yang mahal menyebabkan rakyat Malaysia lebih memilih untuk bercuti ke luar negara. “Air kosong dekat Pantai Cenang RM5? Lepas tu nak salahkan (pelancong) bercuti dekat Hatyai, Thailand,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Pemilik resit tersebut sebelum ini turut tampil menjelaskan mengenai spekulasi dibuat oleh warganet. “Saya pemilik resit tu. Siapa kata saya fitnah, merangkaklah anda cari saya. RM1 (pada resit) tu kuih. Harap maklum. Saya tutup sebab nak tekankan harga air kosong tu saja,” kata pelanggan itu. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.