Masa jamuan tak bawa makanan tak boleh makan, individu ni dedah ank sampai takut nak pergi sekolah sebab cikgu bagi amaran macam ni

Gambar sekadar hiasan

SETIAP kali jamuan kelas diadakan, pasti murid-murid berasa teruja kerana dapat menikmati beraneka juadah. Bagi sesetengah jamuan, makanan akan dibawa oleh murid-murid sendiri, sama ada dimasak di rumah, ditempah atau dibeli dari kedai. Namun kemeriahan sebuah jamuan akhir tahun sempena berakhirnya sesi persekolahan 2023/2024 dicemari dengan sikap biadab seorang guru. Tular video di media sosial luahan seorang ibu yang mendakwa guru di sekolah anaknya mengeluarkan kata-kata yang dianggap kasar.

“Mana yang tak bawa makanan, mana yang tak bawa potluck, jangan makan. Korang tengok je… hah itu ayat-ayat cikgu. Sekarang hujung tahun, ada jamuan akhir tahun untuk pindah sekolah, masuk ke tahun baharu. Cikgu ni kata begitu dekat murid-murid. Anak akak sampai tak pergi sekolah sebab nanti cikgu marah, tak bawa makanan,” katanya. Hanya mahu dikenali sebagai Siti (bukan nama sebenar), wanita itu mendakwa kejadian berlaku ketika jamuan kelas anaknya, murid tahun empat di sebuah sekolah rendah di selatan tanah air.

Ibu berusia 38 tahun itu bagaimanapun hanya menyedari mengenai ‘amaran’ guru berkenaan daripada anaknya pada hari jamuan diadakan pada Selasa. “Pagi semalam (Selasa) saya kejut anak ketiga untuk pergi sekolah, dia cakap tak mahu pergi sebab saya tak ada sediakan makanan untuk dibawa ke sekolah sempena jamuan kelas. Dia cakap cikgu dia dah ‘warning’ awal-awal kalau datang tak bawa makanan, tengok je dan jangan makan,” katanya.

Siti berkata, ‘peringatan’ tersebut tidak sewajarnya dikeluarkan oleh seorang individu yang bergelar pendidik, apatah lagi setiap murid datang daripada latar belakang keluarga berbeza. “Saya ada ramai anak dan sudah bertahun-tahun anak-anak ada jamuan akhir tahun di sekolah. “Saya bukan tak mampu kerana memang saya sediakan untuk mereka bila ada jamuan. Cuma kali ini tak sempat beli atau tempah sebab lupa. Terlalu sibuk dengan urusan kerja. Sebagai guru, dia sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada murid-murid. Kalau bergurau pun, saya rasa tetap tak patut sebab penerimaan masing-masing berbeza, dan macam mana pula dengan perasaan anak-anak dari keluarga yang tak mampu?” ujarnya.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia kesal kerana perkara itu sedikit-sebanyak menjejaskan rekod kedatangan anaknya ke sekolah. “Anak saya tak pergi ke sekolah hanya kerana takut kena marah cikgu sebab tak bawa makanan. Anak saya ada rekod yang baik dari segi kehadiran, tapi kali ni tak datang sebab takut kena marah,” katanya. Siti bagaimanapun enggan memanjangkan isu berkenaan dan hanya mahu mengingatkan kepada guru-guru supaya menjaga tutur kata dan bersikap bertimbang rasa.

Semakan mendapati rakaman video berdurasi 55 saat mengenai luahannya itu sudah pun dipadamkan di laman sosialnya. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version