MEMIKIRKAN usia kandungan hampir memasuki usia lapan bulan, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad terpaksa melepaskan tawaran bergelar hos program realiti Akademi Sahur di Indonesia pada Ramadan ini. Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, berkata, jika dia bersetuju menerima tawaran tersebut ada kemungkinan dia terpaksa bersalin anak kedua di negara jiran. “Pada mulanya memang saya terima tawaran itu tetapi apabila memikirkan kandungan sudah cecah usia lapan bulan dan perlu berada di sana sepanjang Ramadan saya terpaksa tolak.
“Sekiranya bersalin di Indonesia, bimbang proses dokumentasi akan menjadi sulit dan perlu tinggal lebih lama di sana,” katanya. Uyaina berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Raya Ariani 1,001 Tales yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu. Dalam pada itu, Uyaina memberitahu suaminya iaitu Raja Syahiran tidak pernah menghalang dia bekerja dan memberi kebebasan membuat keputusan sendiri. “Suami tidak pernah halang saya bekerja sebab dia tahu kemampuan saya.
“Jika terima tawaran itu, saya perlu bekerja bermula pukul 12 tengah malam dan siaran langsung bermula 2 sehingga 5 pagi. Memang saya tidak mahu fikir perkara buruk tetapi kita kena fikir risiko yang bakal ditanggung,” jelasnya. Untuk rekod, Uyaina pernah mengendalikan program sama sebelum ini. Dalam perkembangan lain, Uyaina turut meluahkan rasa syukur apabila masih lagi dikekalkan sebagai duta jenama Ariani untuk tahun keempat. Menurut Uyaina, biarpun sedang sarat hamil dia masih lagi boleh menggayakan busana rekaan Ariani yang sememangnya menawarkan pelbagai ukuran saiz.
“Alhamdulillah saya masih lagi diberi kepercayaan untuk membawa jenama Ariani walaupun saya sedang hamil. Saya rasa mesti ada sebab kenapa Ariani masih mengekalkan saya sebagai duta kerana saya melalui fasa-fasa berbeza dalam kehidupan. Dari mula saya memakai baju bersaiz XS hinggalah kini M atau XL mengikut potongan baju. Walaupun berubah saiz tetapi saya masih tetap boleh bergaya dengan rekaan Ariani,” katanya. Untuk rekod, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Syahiran pada 21 Disember 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan yang kini berusia setahun.
Uyaina dan Syahiran juga kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata kedua mereka pada Mei ini. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.