TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Tindakan sebuah restoran memasang kain rentang yang memaparkan makanan percuma pada setiap hari Rabu mengundang pelbagai kritikan warga maya. Ia berikutan terdapat sebaris ayat pada ruangan bawah kain rentang tersebut yang menyatakan restorannya dibuka setiap hari kecuali Rabu iaitu hari pemberian makanan percuma. Menerusi beberapa posting tular berserta gambar yang dikongsikan, ramai warga maya meluahkan rasa marah dan kecewa dengan tindakan pemilik restoran yang didakwa tidak prihatin serta mengelirukan.
Malah ada yang menganggapnya sebagai memberi harapan palsu kepada masyarakat terutama mereka yang berada dalam kesusahan dan memerlukan. “Ni betul-betul next level punya mainkan perasaan orang. “Makan percuma hari Rabu walhal hari Rabu dia tutup. “Kau akan rasa sedih once kau terfikir ada orang yang betul-betul susah nampak tanda makanan percuma tapi rupanya main-main,” demikian antara reaksi warganet yang berkongsikan posting berkenaan.
Tampil menjelaskan isu tersebut, pemilik restoran Mek B di Kubang Kerian, Kelantan yang ingin dikenali sebagai Nazri berkata, apa yang dilakukan adalah untuk ‘memperkenalkan’ premisnya kepada orang ramai. Malah ketika dihubungi, dia mengakui telah menjangkakan implikasi serta kesan daripada kenyataan yang dibuat pada kain rentang tersebut sebelum menggantungnya untuk tatapan umum.
“Saya ni baru ‘set-up’ untuk buat menu makan tengah hari, sebelum ni kedai beroperasi malam untuk masakan panas je. Jadi kami gantung pada hari Khamis (25 April). Ayat kat situ… sebelum saya buat memang tahu akan mengelirukan orang tapi memang dalam perancangan untuk buat makan free pada hari Rabu,” ujarnya yang mempunyai ‘agenda’ di sebalik kenyataan berkenaan.
Menurut Nazrin, penggunaan ayat yang mengelirukan itu adalah salah satu teknik pemasaran supaya orang ramai tahu tentang pengoperasian restorannya. Susulan itu, dia memutuskan untuk membiarkan sahaja kritikan dan hentaman yang dibuat warga maya termasuk beberapa pempengaruh media sosial berhubung isu tersebut. “Tak semua boleh terima cara tu dan tak nafikan yang memahaminya menganggap ia sebagai satu jenaka.
“Cuma, apabila ada pihak yang menyebarkannya dalam sentimen negatif, maka warga maya akan tampil dengan komen yang seumpamanya,” tambahnya sambil menegaskan telah bersedia menerima kritikan. Enggan terus mengeruhkan keadaan, ujarnya, video penjelasan bagi menjernihkan isu terbabit akan disiarkan pada Rabu (1 Mei) sekali gus mengumumkan agenda sebenar restorannya.
Turut menyelar tindakan sesetengah ‘Facebook Page’ yang membuat spekulasi awal, Nazrin berkata, apa yang dilakukan itu bertujuan untuk memastikan golongan sasar iaitu mereka yang berkelayakan sahaja akan menerima sumbangan makanan percuma. “Kita nak bagi manfaat pada golongan sasar… ‘page’ tak boleh menilai terlalu awal. Untuk minggu pertama, kita akan berikan pada asnaf serta anak yatim manakala minggu kedua dikhususkan kepada orang ramai dan minggu ketiga untuk waris atau penjaga yang berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM),” tambahnya.
Berkongsi tentang sajian terkini yang dilancarkan untuk makan tengah hari, ujarnya, menu utama adalah nasi ulam budu di samping hidangan tradisional yang berkonsepkan era 80-an. “Waktu operasi untuk makan tengah hari adalah dari 11 pagi sehingga 5 petang manakala untuk makan percuma pada hari Rabu pula dibuat sepanjang hari,” katanya. Dalam pada itu, dia turut menyatakan tindakan tersebut bagi mengubah sikap kebanyakan rakyat Kelantan yang gemar membanjiri mana-mana premis atau jemputan apabila terdapat perkataan ‘percuma’.
“Orang Kelantan terlalu suka makan free, sebab itu buat idea macam ni… nanti kita jelaskan pada video tu (siaran pada Rabu). Saya nak buktikan pada warganet tentang typical orang Kelantan. Selama saya berniaga, payah nak nampak orang susah datang makan percuma,” luahnya. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.