PASANGAN kontroversi Mohd Azlan Ishak dan Nor Hidayu Halim selamat bernikah pada petang Selasa. Kini tiba masanya untuk kedua-dua individu ini membuka lembaran baharu setelah kisah ‘gelap’ mereka menjadi bualan ramai. Bercerita lanjut kepada, Hidayu, 35, berkata dirinya berasa lega apabila sah bergelar isteri kepada Azlan, 36, sekali gus menjernihkan semula keadaan yang selama ini keruh.
Menurut Hidayu, sepanjang tempoh berkenalan dengan Azlan, pelbagai tanggapan dilontarkan penduduk sekitar kepadanya, tanpa sedikit pun mahu cuba memahami kehidupan serba daif yang dilalui mereka berdua. “Selesai je lafaz akad nikah dan semuanya sah, saya terus tarik nafas lega, tamat juga kemelut yang membebani saya dan suami selama ni. Walaupun banyak rintangan, syukur Allah permudahkan satu per satu. Saya harap orang ramai dapat berhenti mencerca dan berikan kami ruang untuk memulakan kehidupan baharu. Selepas habis majlis, ada juga beberapa individu yang sapa kami dan minta maaf.
“Kami terima dengan hati terbuka kerana kami pun banyak kesilapan sebelum ni,” kata Hidayu yang menetap di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah. Hidayu mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyalurkan sumbangan kepada anaknya, Aariz Zafran. “Setakat ni kutipan dah berjumlah RM100,000. Kami akan gunakan semuanya untuk Aariz. Pertama sekali, kami nak pasang penyaman udara dan siapkan bilik yang selesa untuk Aariz di rumah ni, kesian tengok dia berpeluh dalam keadaan cuaca panas sekarang.
“Kemudian kami nak belikan Aariz pakaian dan kelengkapan bayi yang mencukupi, antara yang kami tengah fikir adalah kereta sorong (stroller) dan botol susu. Kami mahu Aariz hidup senang seperti kanak-kanak lain, dah lama dia asyik susah je. Seterusnya untuk menampung kos ubat-ubatan Aariz dalam jangka masa panjang, sebab penyakit Aariz ni tidak boleh dirawat terus. Ia akan sembuh sendiri apabila dia meningkat dewasa, buat waktu ni doktor hanya pantau dari semasa ke semasa,” jelas Hidayu.
Tambah Hidayu, dia dan Azlan juga merancang untuk membuka akaun bank baharu di bawah nama Aariz Zafran. “Sebahagian daripada sumbangan orang ramai tu kami akan masukkan ke sini. Akaun ni macam simpanan masa depan untuk Aariz. Nanti dia dah besar kalau nak sambung belajar atau lain-lain keperluan, boleh guna duit daripada akaun ni.
“Aariz tak boleh selama-lamanya bergantung dengan kami, hidup kami pun tak tahu berapa lama lagi yang tinggal. Jadi ada baiknya kami siapkan tabung untuk Aariz awal-awal. Satu lagi, kami tak mahu Aariz apabila dah dewasa nanti hidup meminta-minta, cukuplah cara hidup begitu setakat saya dan suami je. Kami cuma mahu lihat Aariz menjalani hidupnya dalam kesenangan.
Terima kasih kepada yang menyumbang, nampak juga sinar harapan dalam hidup kami ni, seperti bernyawa semula. Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa kalian,” kata Hidayu terharu. Dalam pada itu, Azlan turut menceritakan tentang hubungan dengan empat anak tirinya. “Isteri ada empat cahaya mata dengan bekas suami, jadi termasuk Aariz kami ada lima tanggungan kesemuanya. Sebelum ni, hanya anak keempat yang berumur empat tahun duduk dengan kami, yang lain di rumah mak mentua.
“Sekarang ni apabila kami dah sedikit berkemampuan dengan bantuan orang ramai, kami nak bawa pulang semua tinggal sebumbung. Untuk pengetahuan, anak sulung kami usia 17 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) akibat sakit cerebral palcy. Saya sayang semua anak tiri saya. sama macam saya sayang Aariz. Anak-anak tiri pun menerima dan menghormati saya sebagai ayah tiri mereka. Antara yang buat saya tersentuh hati, kalau nak keluar ke mana-mana mereka selalu minta izin saya dulu.
Kami adalah satu keluarga besar dan merupakan tanggungjawab saya untuk menjaga kebajikan mereka semua.” kata Azlan yang akan kembali bekerja sebagai pembantu pelantar ikan pada 7 Jun. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.